Saturday, July 31, 2010

Parit tersumbat

PARIT KEROMA – Penduduk di Parit Besar Jalan Haji Kosai, di sini memohon keprihatinan pihak berwajib supaya dapat melaksanakan kerja menyelenggarakan parit di kampung itu dengan segera.

Ini disebabkan keadaan parit itu dipenuhi dengan lalang dan kelihatan seperti kawasan sawah sekali gus memerlukan perhatian sewajarnya, malah penduduk mendakwa tiada kerja membersihkan kawasan itu sejak setahun lalu.

Keadaan parit yang dipenuhi dengan lalang itu juga menyebabkan sistem saliran gagal berfungsi terutamanya ketika musim hujan dan menjadi punca banjir kilat berlaku di kampung terbabit.

Salah seorang penduduk, Efwardi Muskandar, 30, berkata, sehingga kini dia membuat aduan sebanyak tiga kali, namun aduan itu seperti tidak diendahkan pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di sini sudah tidak sanggup lagi menanggung kerosakan dan kekotoran akibat rumah dinaiki air setiap kali banjir kilat berlaku.

“Dalam kejadian banjir yang melanda di kampung ini baru-baru ini, air yang memasuki rumah saya mengambil masa sehingga dua minggu untuk surut.

“Penderitaan berganda apabila air banjir ini mengeluarkan bau busuk yang meloyakan dan memberi ketidakselesaan kepada kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Erwan Muskandar, 32, berkata, dia tidak mengerti punca parit itu terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan yang sewajarnya.

Menurutnya, air pada parit itu juga masih tidak surut sejak kejadian banjir baru-baru ini.

“Dengan kewujudan lalang itu menyebabkan kawasan kampung ini kerap kali banjir kerana tidak dapat menampung lebihan air ketika hujan lebat lebih-lebih lagi ketika air pasang di Sungai Muar.

“Saya bimbang masalah banjir akan menjadi lebih teruk jika parit ini tidak diselenggarakan dengan segera,” katanya.

Erwan berkata, keadaan parit yang dipenuhi lalang itu boleh mengundang bahaya kepada penduduk terutamanya pada waktu malam kerana keliru untuk membezakan di antara jalan ataupun parit.

“Saya memohon jasa baik kepada pihak berkenaan supaya mengambil berat dengan permasalahan ini demi kesejahteraan penduduk di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua kampung berkenaan, Asan@Hassan Uyop@Ayop berkata, pihaknya akan menyiasat permasalahan itu.

“Saya akan cuba menyelesaikan permasalahan ini dengan memanjangkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan yang selanjutnya,” katanya.

Sinar Harian
30 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment