MUAR: ‘Padah haruan makan anak.’ Perumpamaan itu sesuai ditujukan kepada pemandu lori yang didapati bersalah merogol serta melakukan seks oral terhadap dua anak kandungnya berusia 12 dan 14 tahun dalam dua kejadian berasingan, awal tahun ini.
Semalam, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhi hukuman penjara 70 tahun dan 34 sebatan terhadap bapa durjana itu bagi empat tuduhan merogol dan melakukan seks oral terhadap dua anak perempuannya.
Lelaki berusia 39 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap anaknya berusia 14 tahun di rumah mereka di Sungai Mati, kira-kira jam 7 malam pada 3 Januari lalu, manakala satu lagi terhadap anaknya berusia 12 tahun di sebuah pondok di tepi Jalan Pulau Penarik, kira-kira jam 7 malam, 7 Februari lalu.
Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan tertuduh dipenjara 20 tahun dengan 15 sebatan kerana merogol anaknya berusia 14 tahun serta penjara 15 tahun dan dua sebatan kerana melakukan seks oral terhadap mangsa sama dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
Bagi kesalahan terhadap anaknya berusia 12 tahun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara 20 tahun dan 15 sebatan bagi tuduhan rogol dan penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi kesalahan seks oral dengan hukuman berjalan serentak tetapi selepas hukuman bagi kesalahan terhadap mangsa pertama selesai.
Berikutan itu, tertuduh menjalani hukuman penjara 40 tahun dan 34 sebatan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, selain dua kesalahan mengikut Seksyen 377 (c) kanun sama bagi tuduhan seks oral yang membabitkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kamarudin ketika menjatuhkan hukuman berkata, beliau berharap hukuman itu menjadi pengajaran bagi tertuduh dan peringatan supaya orang lain tidak melakukan.
“Saya rasa hukuman itu wajar dikenakan, tetapi ini hukuman dunia saja,” katanya.
Mengikut fakta kes, mangsa berusia 14 tahun dirogol di rumah mereka di Sungai Mati pada 3 Januari lalu, tetapi kejadian itu hanya diketahui ibunya yang dimaklumkan guru kaunseling berikutan mangsa nampak sugul dan tidak menumpukan perhatian dalam kelas.
Pendedahan mangsa kepada guru kaunselingnya itu juga membongkar kejadian sama menimpa adik mangsa pada 7 Februari lalu, menyebabkan laporan dibuat di Balai Polis Sungai Mati sebelum tertuduh menyerah diri keesokannya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah bertaubat dan mahu menjadi manusia soleh.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran, meminta hukuman setimpal kerana sebagai bapa, tertuduh sepatutnya membimbing dan melindungi anaknya, sebaliknya melakukan sesuatu yang mengakibatkan mangsa trauma.
myMetro
6 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment