Monday, July 26, 2010

Padah ceroboh hutan

MUAR - Hasil maklumat awam, Penguatkuasaan Pejabat Hutan Daerah Johor Utara berjaya mematahkan kegiatan curi balak dalam satu serbuan kawasan hutan di pinggir Sungai Muar berhampiran Kampung Semasih, Panchor di sini, pada 22 Julai lalu.

Operasi bermula jam 5 petang yang diketuai Renjer Hutan Kanan, Yaakob Salleh dengan kerjasama Pegawai Renjer Hutan Muar/Lenga itu telah berjaya menahan lima suspek dikenal pasti warga Indonesia.

Difahamkan, ketika serbuan, kesemua suspek kelihatan sedang sibuk mengumpul kayu balak pendek dan kayu jaras yang dicuri dan sudah siap dipotong sebelum dijual.

Sebanyak 18 kayu balak pendek berukuran 4.83 meter padu dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM121.89 serta 27 kayu jaras dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM10.73 telah disita dan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM1,000.

Pegawai Hutan Daerah Johor Utara (Muar, Ledang, Segamat), Khairuddin Perdan berkata, kegiatan menceroboh kawasan hutan tersebut merupakan kali yang ketiga yang mana sebelum ini beberapa kali usaha penangkapan suspek gagal.

“Ketika tangkapan, kesemua suspek juga gagal mengemukakan dokumen yang membenarkan kegiatan untuk memindahkan hasil hutan ini.

“Mereka ditahan sebagaimana yang di peruntukkan dalam Seksyen 88(1) Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 (Pindaan) 1993 (APN 1984),” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Khairuddin berkata, suspek juga ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengambil apa-apa hasil hutan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 15, APN 1984.

“Suspek menjalankan kegiatan menebang dan membawa keluar kayu balak dipercayai secara tradisional dengan menggunakan kuda-kuda bertujuan untuk mengelakkan bunyi jentera berat didengar dan diketahui masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, kesemua suspek telah dijamin oleh majikannya yang merupakan rakyat tempatan dan diarahkan menghadirkan diri ke Pejabat Hutan Daerah Johor Utara, Jalan Awang, Segamat pada 23 Julai lalu untuk keterangan lanjut,” katanya.

Katanya, kelima-lima suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 84 APN 1984.

“Kes ini akan dirujuk ke Pengarah Perhutanan Negeri Johor untuk siasatan bagi memutuskan hukuman yang bakal dijatuhkan sama ada dikenakan kompaun dan ganti rugi ataupun didakwa di mahkamah.

“Melihat senario ini, suka saya menasihatkan kepada orang awam supaya segera memberi maklumat jika mengetahui berlaku kegiatan pencerobohan hutan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, ini sebagai mekanisme terbaik bagi membolehkan pihaknya membanteras kegiatan tersebut dengan lebih awal bagi mengelakkan daripada lebih banyak kayu balak ditebang sesuka hati.

Sinar Harian
26 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment