Wednesday, July 14, 2010

Acu senapang ugut abang

ARKIB 16 JUN 2010

MUAR - Tindakan seorang adik mengacukan senapang patah dan mengugut membunuh abangnya yang berusia 57 tahun mengundang padah apabila dia ditangkap polis di rumahnya di Jalan Abdul Rahman di sini, 12 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dalam kejadian tersebut, dipercayai adiknya yang juga merupakan seorang kontraktor dikatakan tidak berpuas hati dan naik berang apabila abangnya tidak lagi membenarkannya untuk terus menyewa bangunan yang terletak di hadapan rumah abangnya itu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang iaitu ketika mangsa hendak keluar rumah, tiba-tiba telah didatangi adiknya bersama senapang patah dan mengugut untuk membunuhnya serta melarang mangsa daripada pulang semula ke rumah.

“Sebelum kejadian adiknya sering kali mengganggu mangsa dan tidak menyangka adiknya tergamak melakukan tindakan sedemikian.

“Ketika tangkapan polis turut merampas senjata tersebut untuk siasatan lanjut dan lesen memiliki senjata api milik suspek juga akan ditarik balik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Katanya, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

“Kes disiasat mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian
16 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment