MELAKA: Seorang ketua sindiket curi kenderaan lama dikenali sebagai ‘Geng Shukri’ yang aktif di negeri ini dan Johor sejak dua tahun lalu bukan saja licik dan berkemahiran tinggi, malah sanggup menaiki bas sejauh 55 kilometer dari Muar ke negeri ini untuk melakukan jenayah itu.
Suspek berusia 49 tahun itu dikatakan bijak memilih sasaran dan hanya memerlukan masa kurang tujuh minit untuk menghidupkan enjin sebelum melarikan kenderaan itu selepas membukanya dengan kunci pendua sebelum dilupuskan dengan cara ‘melapah’ komponennya dan dijual di kedai barang lusuh.
Malah, dia yang juga seorang mekanik turut bersekongkol dengan bapa saudaranya, seorang warga emas berusia 72 tahun dalam melakukan kegiatan curi itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, berkata kegiatan sindiket itu lumpuh hasil serbuan oleh pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bermula 24 Jun hingga 6 Julai lalu.
Beliau berkata, dalam operasi khas (Ops Lejang) itu, 14 suspek berusia 23 dan 72 tahun termasuk seorang warga emas dan seorang wanita ditahan di beberapa lokasi dalam serbuan berasingan di sekitar Muar Johor iaitu di Parit Jawa, Bukit Pasir, Pagoh dan bandar Muar.
“Hasil serbuan kami turut merampas tujuh kenderaan lama iaitu kereta Toyota LE, Toyota Corolla DX, Mazda 323, Nissan Sunny, Nissan Sentra dan serta sebuah van Ford Econovan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPK, semalam.
“Turut dirampas sebanyak 12 keping cermin hadapan kereta yang masih mempunyai nombor pendaftaran kereta ‘sandblasting’. Keseluruhan rampasan ini yang dibuat di bengkel dan dari premis menjual barangan terpakai dianggarkan bernilai RM100,000 hingga RM120,000.
“Cermin dan pelbagai komponen kereta yang dileraikan ini dijual kepada bengkel tertentu sebagai alat ganti dan juga kedai barangan terpakai,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPK, semalam.
Mohd Rodwan berkata, susulan penangkapan suspek terbabit, pihaknya dapat melumpuhkan satu sindiket curi kenderaan lama yang aktif di negeri ini dan Johor.
“Hasil soal siasat terhadap suspek, kami juga yakin dapat menyelesaikan sebanyak 40 kes curi kenderaan di Melaka sahaja dan 10 lagi di Johor sejak 2008.
“Semua anggota kumpulan yang direman sudah diserahkan kepada polis Johor untuk siasatan lanjut kes di sana,” katanya.
myMetro
13 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment