Saturday, July 3, 2010

Projek dalam perhatian JKR

KAMPUNG SUNGAI JAYA – Penduduk kampung di sini menggesa pihak berkuasa menyelesaikan segera masalah perparitan yang tidak sempurna di mana menjadi punca seringnya berlaku banjir kilat.

Seorang penduduk, Abdul Ghani Ashaari berkata, masalah perparitan di kampung ini sungguh meruncing kerana tiada aliran air yang sempurna.

“Sistem perparitan di kampung ini terhenti sehingga di kampung Sungai Bilis. Apabila hujan lebat, air akan melimpah ke kawasan rumah kami.

“Selain mengalami kerosakan rumah dan harta benda, kami bimbang keselamatan seisi sekeluarga terutama warga emas. Begitu juga dikhuatiri ada haiwan liar seperti ular akan memasuki rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Sungai Jaya, Abd Hamid Majid berkata, permasalahan perparitan ini bukanlah isu baru sebaliknya telah dibangkitkan sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, masalah lebih serius dengan wujudnya taman perumahan baru berhampiran kawasan kampung ini.

“Apabila taman perumahan ini dibuka, air dari taman tersebut disalirkan ke parit Kampung Sungai Jaya.

“Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) telah membuat parit batu dari Taman Sri Jaya ke Sungai Ring, namun ia tidak memadai,” katanya.

Beliau berkata, jika dilihat kawasan parit sebelah kanan jalan Kampung Sungai Jaya tidak pernah dinaiktaraf walaupun telah banyak kali pihaknya mengemukakan permohonan.

“Kawasan paritnya bersemak dan tersumbat. Ianya tidak dibersihkan secara berkala,” katanya.

Abd Hamid berkata, beliau telah mengajukan masalah ini untuk diselesaikan kepada tiga saluran iaitu melalui wakil rakyat tempatan, pejabat PBT dan juga turut diusulkan dalam mesyuarat UMNO Cawangan.

“Tiga tahun lalu, wakil rakyat bersetuju untuk mengusahakan peruntukan projek menaik taraf parit kampung ini dengan tiga pendekatan, namun sehingga kini tiada seberang tindakan yang dapat dilihat.

“Pendekatan pertama, dengan memasang kalbat yang panjangnya 10 kaki terus daripada parit simpang Taman Sri Jaya ke Kampung Sungai Bilis. Manakala, keduanya dengan menukar kalbat yang dilihat sudah tidak berfungsi di hadapan masjid.

“Ketiga adalah dengan menaik taraf semua parit sebelah kanan daripada Taman Sri Jaya berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir sehingga ke Sungai Ring kepada parit bentuk ‘U’ serta memasang konkrit siap untuk setiap laluan di setiap rumah kediaman,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, projek tersebut sedang dalam pemerhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pelaksanaannya.

“Ini adalah projek besar di antara projek yang sedang dijalankan. Jika dilihat, di Kampung Sawah Ring sedang dilakukan pelebaran dan pedalaman perparitannya.

“Projek mendalamkan dan melebarkan sistem perparitan dari Taman Sri Jaya ke Kampung Sawah Ring adalah projek yang besar dan sedang dalam pemerhatian JKR,” katanya.

Menurutnya, selain projek sistem perparitan tersebut, telah dicadangkan untuk pembinaan parit konkrit sebagai mana di Taman Sri Jaya.

Sinar Harian
3 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment