Wednesday, July 28, 2010

Lega gangguan monyet berakhir

PANCHOR – Penduduk di sekitar kawasan Panchor kini boleh menarik nafas lega apabila masalah gangguan monyet liar yang menghantui mereka sejak dua tahun lalu ‘diselesaikan’ melalui Operasi Basmi Musuh Tanaman, baru-baru ini.

Kira-kira 100 monyet liar berjaya ditembak selepas sekian lama bermaharajalela di kawasan kampung berkenaan.

Penduduk mendakwa kehidupan mereka terganggu sejak kehadiran monyet liar itu kira-kira dua tahun lalu dan semakin serius sejak kebelakangan itu.

Melihat fenomena permasalahan tersebut mendorong Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Jawa (Mukim Jorak) mengadakan operasi itu.

Difahamkan operasi tersebut dikendalikan oleh Jawatankuasa Pelancaran Operasi Kawalan Hidupan Liar Jabatan Perhilitan Negeri Johor bersama Anggota Skuad Penembak (Rela) Daerah Muar.

Ketua Kampung berkenaan, Aladdin Amat berkata, operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira 2 petang itu melibatkan 25 anggota skuad penembak Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Menurutnya, operasi tersebut dilakukan secara berkumpulan di kawasan yang kerap diganggu monyet liar.

“Monyet liar itu dikenal pasti datang daripada sawah terbiar seluas 40 hektar di hujung kampung ini.

“Pada peringkat awal, bilangan monyet liar ini tidak banyak tetapi lama kelamaan bilangan ini semakin bertambah sehingga meresahkan penduduk, ”katanya.

Beliau berkata, penduduk dan petani sering merungut apabila banyak tanaman mereka yang rosak akibat perbuatan monyet itu.

“Pendapatan mereka turut terjejas apabila banyak tanam yang musnah akibat angkara monyet liar.

“Malahan penduduk juga terpaksa sentiasa menutup tingkap rumah kerana monyet ini akan memasuki rumah dan menggeladah barang-barang, ”katanya.

Menurutnya, penduduk di sini tidak tahan lagi untuk terus berhadapan dengan permasalahan itu apabila monyet-monyet berkenaan bertindak lebih agresif dan mula mengganggu kanak-kanak.

“Operasi ini terpaksa dilakukan memandangkan permasalahan ini sudah menjadi semakin serius dan untuk mengelakkan insiden lebih buruk daripada berlaku, ”katanya.

Salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kehidupan penduduk di sini mulai tidak aman dan tenteram sejak kehadiran monyet liar itu.

Menurutnya, berikutan kehadiran monyet liar terlalu banyak menjadikan manusia takut kepada monyet dan bukannya monyet yang takut kepada manusia.

“Kadang-kadang monyet-monyet ini bergaduh semasa sendiri mencetuskan bunyi bising yang kuat.

“Anak saya juga takut untuk bermain di luar rumah kerana pernah dikejar oleh monyet-monyet ini,” katanya.

Beliau berharap dengan terlaksananya operasi itu, masalah tersebut akan berakhir dan penduduk di sini dapat kembali hidup dalam keadaan aman dan selamat.

Sinar Harian
28 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment