ARKIB 27 Jun 2010
HASNAH Malik (kanan) bersama ahli keluarga di luar rumahnya yang digenangi banjir selama tiga hari di Kampung Parit Raja, Jalan Temenggong Ahmad, Muar, semalam.
MUAR 27 Jun - Kira-kira 20 keluarga di Kampung Parit Raja, Jalan Temenggong Ahmad di sini terperangkap di dalam rumah selama tiga hari akibat banjir yang disebabkan limpahan air parit tersumbat.
Hujan selama dua jam sahaja sudah cukup untuk menimbulkan resah para penduduk kerana limpahan air itu turut memasuki bahagian rumah dan membataskan kehidupan seharian mereka.
Menurut seorang penduduk, Hasnah Malik, 58, kejadian banjir itu mula berlaku pada Jumaat lalu selepas hujan lebat pada kira-kira pukul 4 pagi.
"Air dari parit di depan rumah saya ini melimpah dan keluarga saya menjadi kelam-kabut kerana sebahagian daripada rumah saya dimasuki air setinggi paras buku lali.
"Kami sangka banjir ini akan surut semalam tetapi hujan selama dua jam pagi tadi menyebabkan air sekali lagi masuk ke dalam rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata Hasnah, dia percaya masalah banjir akibat limpahan air parit itu berpunca daripada laluan air di bawah Jalan Temenggong Ahmad yang tersekat dan tidak dapat mengalirkan air dengan baik.
"Selagi lubang saliran air itu tidak diselenggara atau ditukar baru, selagi itu masalah banjir ini akan menimpa penduduk di Kampung Parit Raja," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Norfadzlin Fadzil, 21, berkata, kejadian banjir itu adalah yang pertama untuk tahun ini dan dia bimbang situasi sama akan berulang jika langkah untuk mengatasinya tidak diambil pihak berkuasa.
"Disebabkan masalah banjir ini, banyak penduduk kampung yang tidak dapat tidur di rumah sendiri dan terpaksa menumpang di rumah jiran.
"Saya berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat melihat sendiri masalah ini dan menyelenggara parit di kawasan rumah kami ini kerana aliran di bahagian lain tidak nampak pun bermasalah," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman.
Sementara itu, menurut seorang lagi penduduk, Mohd. Raya Sharif, 44, segala urusan kerja dan persekolahan anak-anaknya terganggu akibat masalah banjir yang berpunca daripada limpahan air di parit di depan rumahnya.
Utusan Online
27 Jun 2010
0 comments:
Post a Comment