Wednesday, July 14, 2010

Mahkamah gempar terima panggilan bom palsu

ARKIB 9 JUN 2010


TIGA anggota polis berkawal di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi dan Sesyen Muar selepas menerima panggilan palsu terdapat bom di bangunan tersebut, di Muar, Johor, 8 Jun. - Utusan/ISHAK RAHMAD

MUAR: Kira-kira 100 kakitangan termasuk hakim, peguam dan orang ramai yang berurusan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen di Jalan Petrie di sini, diarah keluar serta-merta selepas menerima panggilan telefon amaran bom akan meletup di bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan polis mendapati amaran itu tidak berasas dan semua urusan di bangunan berkenaan disambung semula selepas jam 2 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, seorang kakitangan Mahkamah Tinggi berkenaan dikatakan menerima panggilan telefon, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Sebaik menerima aduan berkenaan, sepasukan polis dan Unit Pemusnah Bom dihantar ke tempat kejadian bagi memeriksa kawasan sekitar bangunan mahkamah berkenaan. Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan polis mengesahkan tiada bom atau sebarang objek mencurigakan ada di bangunan itu.

Dalam kejadian terdahulu pada 20 Julai tahun lalu, kakitangan Mahkamah Tinggi pernah menerima panggilan bom, namun pemeriksaan mendapati ia adalah panggilan palsu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Lee Choon Guan berkata, panggilan menyatakan mahkamah itu diletakkan bom disahkan panggilan palsu selepas pemeriksaan terperinci dijalankan.

myMetro
9 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment