Penduduk mendakwa, masalah jalan itu terjadi kira-kira dua tahun lalu dan sejak setahun kebelakangan ini, keadaannya menjadi semakin serius.
Salah seorang penduduk yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Pagoh, Isa Karim, 40, berkata, berikutan kampung itu sering mengalami masalah banjir, satu mekanisme mengurangkan banjir dilakukan dengan membina benteng air.
Menurutnya, namun disebabkan tekanan air yang terlalu kuat menghakis tebing jalan itu dan akhirnya berlakunya runtuhan pada bahu jalan kampung itu.
“Pada peringkat permulaan, kerosakan yang berlaku tidak begitu serius tetapi apabila kampung ini terlalu kerap dilanda banjir, maka kerosakan menjadi lebih serius.
“Jika terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan proaktif, tidak mustahil masalah ini akan bertambah serius dan kemungkinan keseluruhan permukaan jalan ini akan runtuh,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Katanya, jalan itu menjadi tumpuan penduduk kerana menjadi penghubung dari kampung berkenaan ke kampung Bukit Sedenak.
“Malah, turut menjadi laluan kepada kenderaan seperti lori bagi pekebun getah dan kelapa sawit yang kebanyakannya mempunyai kebun.
“Bukan itu sahaja, kami lebih bimbangkan dengan keselamatan pelajar terutamanya yang berbasikal,” katanya.
Katanya, ini kerana kemalangan boleh berlaku jika mereka gagal mengawal diri apabila berselisih dengan kenderaan yang besar ketika melalui jalan yang rosak itu.
Seorang penduduk, Suradi Beju, 65, berkata, penduduk di sini sudah hilang sabar dengan keadaan jalan yang rosak itu.
Menurutnya, penduduk tidak faham apabila permasalahan itu seperti tidak mendapat perhatian sedangkan jalan berkenaan menjadi laluan semua orang.
“Adakah jika sudah berlaku kemalangan, baru hendak mengambil tindakan?
“Walaupun setakat ini tidak pernah berlaku sebarang kemalangan, tetapi ia memerlukan perhatian segera kerana risiko bahaya di jalan ini sangat tinggi,” katanya.
Suradi berkata, dia sendiri takut apabila menggunakan jalan itu lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana keadaannya gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan.
“Kami menggesa pihak yang berkenaan supaya dapat turun padang dan melihat permasalahan ini sekali gus diharapkan jalan ini dapat dibaikpulih dengan kadar segera mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (Adun) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh berkata, pihaknya memanjangkan permasalahan berkenaan kepada Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) daerah Muar untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, masalah itu juga mendapat perhatian daripada JPS dan kini mengkaji struktur tanah kampung terbabit.
“Pada masa yang sama, JPS juga sedang menunggu peruntukan dan kerja baik pulih akan dilakukan dengan segera apabila mendapat peruntukan ini.
“Bagaimanapun, kekerapan lori berat menggunakan jalan ini juga turut dikenal pasti menjadi faktor jalan ini rosak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Sinar Harian
27 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment