Monday, July 26, 2010

25,000 saksi konsert kemuncak

MUAR: Konsert Gegaria yang menjadi acara kemuncak Karnival Gegaria Harian Metro 2010 ternyata memberi kepuasan kepada lebih 25,000 pengunjung pelbagai peringkat usia di Dataran Tanjung Emas di sini, malam tadi.

Penampilan barisan artis tempatan dengan gaya persembahan tersendiri memukau penonton yang hadir seawal jam 8 malam.

Persembahan pembukaan kumpulan pelawak yang mencipta nama melalui rancangan Raja Lawak, Ketampi dengan penampilan khas DJ Slumber menjadi pemanas pentas sebelum konsert bermula.

Penonton disajikan persembahan kebudayaan oleh penari zapin Majlis Perbandaran Muar (MPM), kumpulan Zapin Bunga Hati dengan tarian tradisional masyarakat Johor.

Kemunculan Raja Azura sebagai pengacara pada malam itu, menghangatkan lagi konsert dengan celotehnya mencuit hati penonton sebelum artis solo dan berkumpulan muncul seperti Sofaz, Azharina, Lufya Af 6, Farahdiya, Izwan Pilus, Sarah Raisuddin sebelum penutup persembahan disempurnakan kumpulan rock Kristal.

Persembahan malam itu juga diserikan dengan kemunculan istimewa pelakon utama filem ... Dalam Botol iaitu Arja Lee dan Wan Raja.

Sementara itu, hari terakhir karnival dipenuhi dengan pelbagai acara di semua gerai unit Harian Metro dan penaja.

Gerai Arena memaparkan kehebatan aksi berani penunggang team SCK Harian Metro Honda didatangkan khas, selain memberi peluang peminat cub prix bersua muka dengan hero litar seperti Affendi Rosli, Norizman Ismail dan Suhardi Ali Rahmat.

Di Gerai Variasi dan Hati, konvoi motosikal Kelab RD memeriahkan pameran motosikal berkuasa tinggi serta ubah suai Muar Bikes dan Biker Muar. Malah, di gerai itu peminat Harian Metro berpeluang menyaksikan terbitan pertama akhbar Harian Metro dilancarkan 19 tahun lalu hingga tahun ini.

Di Gerai Harian Metro/Metro Ahad pula, pengunjung berpeluang membeli akhbar Metro Ahad selain Berita Minggu dan New Sunday Times. Selain itu, bagi penggemar barangan jenama Harian Metro pula pelbagai barangan eksklusif turut dijual untuk dijadikan cenderamata untuk dibawa pulang.

Tidak ketinggalan pelbagai program sampingan diadakan gerai penaja seperti Celcom yang melakukan pelbagai persembahan serta promosi jualan manakala Modenas menampilkan pertunjukan motosikal, selain menyambut ketibaan konvoi pemilik Kriss dan Jaguh dari ibu kota semata-mata untuk memeriahkan karnival ini.

Gerai Rap terus menjadi tumpuan pengunjung sejak hari pertama lagi apabila keletah Ketampi terus mencuit hati.

myMetro
26 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment