Friday, July 23, 2010

Program amali ibadat haji

SEKUMPULAN pelajar melakukan ‘tawaf’ pada Program Amali Haji untuk para pelajar tingkatan empat dan lima di perkarangan SMK (Agama) Maahad di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 22 Julai – Seolah-olah menyaksikan sendiri bagaimana ibadah haji dilakukan, pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar menunjukkan kesungguhan menjayakan Program Amali Haji di sekolah berkenaan di sini baru-baru ini.

Dengan berpandukan kepada setiap Rukun Haji, seramai 310 pelajar yang lengkap berpakaian ihram itu menerima pendedahan terbaik untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Biarpun ia merupakan pelengkap kepada sukatan pelajaran di sekolah, program setengah hari yang bermula dari pukul 3.30 petang itu telah memupuk semangat dan cita-cita para pelajar dari tingkatan empat dan lima berkenaan untuk menunaikan ibadah haji pada usia yang muda.

Menerusi takbir yang berkumandang serta penghayatan mendalam bagi setiap pelaksanaan rukun dan wajib haji, pelajar-pelajar di sekolah agama itu telah berjaya menghidupkan suasana sebagaimana ibadah haji dilaksanakan di Mekah.

Menurut Guru Kanan SMKA Maahad Muar yang juga Pengurus Projek Penganjuran Amali Haji, Rubiah Omar, setiap pelajar telah diberikan persiapan selama sebulan untuk mendalami dan memahami setiap aspek dalam mengerjakan haji.

“Kami bukan setakat mengajar teorinya sahaja namun ia dilengkapkan dengan pengajaran secara praktikal supaya setiap pelajar mengetahui amalan yang perlu dilakukan.

“Dalam amali ini, pelajar-pelajar yang terdiri daripada lelaki dan perempuan dikehendaki untuk melakukan haji Qiran iaitu mengerjakan haji dan umrah serentak,” katanya.

Dalam tinjauan pada program amali berkenaan, setiap aspek dalam menunaikan ibadah haji benar-benar diwujudkan di pekarangan sekolah tersebut daripada wukuf di padang Arafah, melontar batu di tiga jamrah, tawaf di replika Kaabah serta lapangan untuk Saie.

Program itu juga turut memberi suntikan realiti dengan khemah-khemah untuk jemaah haji turut didirikan dan terdapat juga ahli jemaah yang memainkan peranan sebagai orang kurang upaya serta perlu ditolak dengan kerusi roda.

Menceritakan secara lebih lanjut, guru Kelas Kemahiran al-Quran, Mohamad Sani Taib berkata, Program Amali Haji di sekolah berkenaan mula diadakan pada tahun 2007 sebelum ia dijadikan acara dwi tahunan pada 2008.

“Pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima ini dibahagikan kepada 10 kumpulan mengikut kelas masing-masing dan mereka diadili untuk pertandingan kumpulan jemaah haji terbaik.

“Dengan inisiatif sendiri, pelajar-pelajar mencari kain ihram dan kita juga dapat melihat kreativiti mereka dengan adanya paparan orang sakit,” katanya yang turut tertarik melihat sebilangan pelajar mengenakan cermin mata hitam semasa program amali tersebut.

Katanya, setiap kumpulan akan mendapat bimbingan dari guru kelas masing-masing dan pertandingan itu akan diadili oleh barisan guru yang pernah mengerjakan haji dan umrah di Mekah.

“Selepas menunaikan sesuatu rukun, setiap kumpulan akan diberikan soalan untuk markah dan mereka turut diawasi oleh guru-guru yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, perkara yang dinilai dalam pertandingan berkenaan adalah pelaksanaan Rukun dan Wajib Haji, amalan-amalan sunat, akhlak, disiplin, kreativiti dan keseragaman kumpulan.

“Adalah menjadi matlamat dalam penganjuran program ini untuk menjadikan amali haji sesuatu pengalaman baru yang menyeronokkan dalam suasana pembelajaran di luar bilik darjah serta menerapkan nilai-nilai murni di kalangan para pelajar,” katanya.

Utusan
22 Jul 2010


Amali haji sentiasa dinanti-nanti oleh pelajar

MUAR 22 Julai - Program Amali Haji yang menjadi acara dwitahunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar sememangnya program yang cukup dinanti-nantikan oleh para pelajar sekolah berkenaan.

Biarpun memerlukan pelbagai inisiatif sendiri termasuk mencari kain ihram, pelajar-pelajar tersebut sanggup melakukan pelbagai rujukan sendiri bagi menjayakan lagi program pembelajaran di luar bilik darjah itu.

Menurut Ketua Pelajar sekolah berkenaan, Ahmad Ibrahim Zakaria, 17, program tersebut hanya membabitkan pelajar-pelajar tingkatan lima serta empat dan mereka menerima bimbingan daripada guru kelas masing-masing.

"Kira-kira seminggu yang lepas, kami telah diberi taklimat khas dan perlu melengkapkan diri dengan semua keperluan untuk menunaikan fardu haji.

"Tidak hanya dengan pengajaran berbentuk teori, latihan dalam bentuk praktikal ini telah membangkitkan rasa insaf dan penghayatan yang mendalam," katanya di sini baru-baru ini.

Jelasnya lagi, pelajar-pelajar turut diberikan kebebasan dari segi kreativiti dan peluang itu membolehkan pelbagai perkara yang sinonim dengan ibadah haji dapat ditonjolkan.

Sementara itu, bagi seorang lagi pelajar, Balqis Muhamad Kasim, 17, program amali yang diadakan di sekolahnya itu mengimbau pengalamannya mengerjakan haji di Mekah tahun lalu.

"Saya telah menunaikan haji bersama keluarga pada tahun lepas dan berharap pengalaman yang ada dapat membantu rakan-rakan untuk lebih memahami cara-cara mengerjakan haji," katanya.

Beliau gembira dapat menjayakan program amali berkenaan kerana setiap aspek dalam ibadah haji telah didedahkan iaitu daripada perkara wajib hingga sunat kepada para pelajar.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Siti Maryam Mohd. Hanapi, 17, memberitahu, usaha para pelajar dalam merealisasikan program itu tidak akan berjaya mencapai matlamatnya tanpa bimbingan para guru.

"Dari segi amalan dan bacaan, banyak perkara yang para guru telah ajar sehingga ia membantu kami memahami keadaan yang sebenar semasa ibadah haji diadakan.

"Dengan pemahaman ini, secara tidak langsung ia dapat membantu kami dalam peperiksaan bagi subjek Pendidikan Syariah Islamiah," katanya.

Utusan
22 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment