Thursday, July 29, 2010

Nyaris maut

BATU PAHAT: Dua warga emas nyaris maut dan dua beranak cedera ringan apabila bas henti-henti dipercayai dipandu dalam keadaan mengantuk, merempuh 10 kenderaan bermula Pekan Baru Parit Yusof, Muar hingga ke Pekan Semerah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, pemandu bas dalam perjalanan ke pekan Batu Pahat dari Muar, dipercayai mengantuk sebelum merempuh kereta dan van di Pekan Baru Parit Yusop, Muar.

Bagaimanapun, bas berkenaan yang tiada penumpang tidak berhenti di situ, sebaliknya meneruskan perjalanan dalam keadaan laju dan melulu sebelum merempuh lapan lagi kenderaan lain di Pekan Semerah kira-kira dua kilometer dari tapak kejadian pertama.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum merempuh konkrit pembahagi jalan dan memasuki laluan kanan (bertentangan).

“Bas berkenaan yang masih bergerak merempuh dua kereta, satu lori dan satu motosikal sebelum melanggar penghadang jalan dan memasuki jalan ke arah Batu Pahat semula,” katanya.


Bas ‘mengamuk’

BATU PAHAT: “Bila dengar dentuman kuat, saya ingatkan ada orang letupkan bom. Tiba-tiba sebuah van tanpa penumpang meluru masuk ke dalam kedai,” kata peniaga Loh See Sern, 75, menceritakan detik cemas kemalangan membabitkan 10 kenderaan dirempuh bas henti-henti di pekan Semerah dan Parit Yusop, Muar, pagi semalam.

Bas yang hilang kawalan itu merempuh van di luar kedai Loh menyebabkan kenderaan itu bergerak masuk ke dalam premis menjual ubat itu ketika mangsa asyik mengadun ubat-ubatan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, bas tidak berpenumpang dari Muar dalam perjalanan ke bandar Batu Pahat apabila pemandunya dipercayai hilang kawalan dan merempuh pelbagai kenderaan membabitkan kereta, van, kenderaan pelbagai guna (MPV), lori dan motosikal di dua lokasi berasingan.

Loh berkata, dia sempat menyelamatkan diri dengan berlari ke bahagian tengah kedai sebaik van dirempuh itu meluru memasuki premisnya hingga merosakkan pintu dan meja.

“Mujur cucu saya masih di sekolah, jika tidak mungkin mereka dirempuh van berkenaan. Akibat rempuhan itu, saya kerugian RM60,000 kerana kedai tidak boleh dibuka beberapa hari,” katanya.

Anaknya, Loh King Long, 35, berkata, dia juga terdengar bunyi kuat dan melihat van merempuh pintu sebelum berhenti dalam kedai.

“Saya yang berada di bahagian tengah kedai tergamam apabila melihat van tiba-tiba memasuki kedai. Nasib baik, ayah sempat melarikan diri sebelum saya memeluk untuk menenangkannya,” katanya.

Pemilik kedai runcit, Oh Koon Yin, 55, berkata, ketika kejadian dia baru bergerak beberapa langkah ke dalam kedai untuk mengambil kain bagi mengelap barangan yang diletak di kaki lima.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan saya nampak sebuah kereta Proton Iswara dan Proton Wira berada di kaki lima kedai.

“Terdetik di hati, saya bernasib baik kerana tergerak untuk mengambil kain. Jika tidak, saya mungkin maut dalam kejadian ini,” katanya.

myMetro
29 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment