Thursday, July 29, 2010

Skim Infaq mudahkan bayar zakat pendapatan

JALAN PETRIE – Menyedari kewajipan membayar zakat pendapatan kepada umat Islam, Skim Infaq iaitu pembayaran melalui potongan gaji telah diperkenalkan bagi memudahkan mereka membayar zakat tersebut.

Kadi Daerah Muar, Dzulkifli Mohamed berkata, melalui pembayaran zakat itu dapat memperkasa dan menaikkan syiar Islam.

Menurutnya, melalui kutipan zakat itu akan membolehkan pejabat agama di daerah masing-masing memberi suntikan bagi membantu golongan fakir miskin.

“Amil institusi ini terdiri daripada kalangan guru dan penjawat awam.

“Pada Majlis Penyampaian Insentif Amil Institusi ini Majlis Agama Islam Negeri Johor menerima cek bernilai RM486,944.56 hasil kutipan zakat pendapatan daripada Pejabat Pelajaran Daerah Muar dan Ledang bagi bulan Jun hingga Disember 2009,” katanya.

Beliau berkata, majlis berkenaan juga sebagai satu promosi atau galakan kepada guru dan kakitangan sekolah untuk membayar zakat melalui potongan gaji.

“Dengan adanya skim ini, dapat mendorong dan menarik lebih ramai kakitangan daripada sektor swasta untuk membuat pemotongan zakat pendapatan.

“Jika boleh kami mahu setiap masyarakat mempunyai semangat membayar zakat pendapatan ini sebagai mana mereka membayar zakat fitrah setiap tahun,” katanya.

Pada majlis berkenaan turut diadakan penyampaian bantuan sekolah bagi daerah Muar dan Ledang sebanyak RM30,434 untuk diberikan kepada pelajar terdiri daripada golongan fakir dan miskin selain bantuan Bakti Siswa kepada tujuh pelajar tingkatan empat yang dikenal pasti adalah daripada golongan miskin.

“Bantuan ini diberikan sebanyak RM600 setahun dan mereka menerimanya selama dua tahun,” katanya.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Muar yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Sinar Harian
29 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment