MUAR: Selain berhibur dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari Karnival Gegaria Harian Metro 2010 di Dataran Tanjung Emas di sini, pengunjung turut dilayan mesra dengan keramahan gadis penyeri Gegaria yang sedia menyambut di setiap gerai unit Harian Metro dan penaja.
Sukarelawan Harian Metro, Siti Huda Bajrai Shikh Abd Razak, 19, menyifatkan pembabitannya satu pengalaman menarik apabila berpeluang bermesra dengan kanak-kanak yang ramai ke Gerai My Metro Kids.
“Saya sanggup datang dari Segamat dan menggunakan cuti hujung minggu untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di karnival yang meriah ini,” kata pelajar tahun dua jurusan Pentadbiran dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.
Gadis Modenas, Siti Hajar Azizul Khairiri, 19, berkata dia teruja dengan tugas sebagai gadis penyeri Gegaria kerana dapat membina keyakinan diri selain seronok melihat telatah orang ramai.
“Walaupun tugas ini hanyalah sambilan saja saya seronok melayan kerenah orang ramai yang berpusu-pusu mengunjungi gerai Modenas dan gerai unit Harian Metro,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Azanin Hanani Abdullah, 21, berkata pengalaman sebagai gadis penyeri begitu menyeronokkan kerana ada saja pengunjung yang mahu bergambar bersama dengannya.
“Pengalaman dua hari bekerja sebagai gadis penyeri tidak mungkin dilupakan dan jika diberi peluang turut serta lagi selepas ini saya pasti tidak akan menolak pelawaan Harian Metro,” katanya.
myMetro
26 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment