Saturday, July 17, 2010

Salamah olahragawati terbaik

MUAR – Kekurangan diri sebagai murid Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Batu 28 Lenga, Salamah Hamdan, 13, tidak menjadi penghalang kepadanya untuk muncul sebagai olahragawati junior terbaik dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2009.

Salamah berjaya mencipta rekod kebangsaan baru dalam acara 100 meter dan 200 meter yang disertainya dan merangkul pingat emas dalam 4x100 meter yang lain dalam kejohanan yang berlangsung pada 25 hingga 28 Mac lalu di Stadium Muar.

Penyelaras Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Ramli Satimin berkata, Salamah sememangnya mempunyai bakat besar dalam bidang sukan yang mula dikesan sejak berusia sembilan tahun.

Menurutnya, atas faktor itu Salamah telah dilatih setiap minggu pada waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

“Hasil usaha yang gigih, Salamah berjaya memperoleh pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas peringkat daerah pada tahun 2008 hingga ke peringkat negeri Johor.

“Kecemerlangannya semakin menyerlah pada 2009 apabila menang dua pingat emas dalam acara 100 dan 200 meter,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Dengan kejayaan itu, Salamah terpilih mewakili daerah Muar untuk Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat negeri Johor.

“Sebagai persediaan, Salamah telah menjalani sesi Latihan Pusat Khas selama empat fasa di Sekolah Menegah Kebangsaan Bukit Pasir dan Matrikulasi Johor.

“Dalam kejohanan ini, Salamah memperoleh tiga pingat emas dan hadiah wang tunai RM850 dalam acara 100, 200 dan 4x100 meter serta mencipta rekod negeri dalam acara 100 meter dan 200 meter,” katanya.

Apabila memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lenga, bakat Salamah semakin menyinar dan pelbagai acara yang dimasukinya sama ada peringkat daerah mahupun peringkat negeri.

Pengetua sekolah, Abu Bakar Mohamad berkata, meskipun dikategorikan pelajar pendidikan khas, pihak sekolah tidak membataskan penglibatan Salamah dalam kategori acara sukan yang dipertandingkan.

Menurutnya, Salamah juga berkeupayaan memasuki kejohanan sukan bagi kategori biasa dan ternyata kehebatannya tiada tandingan dan berjaya mengatasi pelajar normal yang lain.

“Pihak sekolah sentiasa berusaha memberikan pendidikan yang sewajarnya supaya Salamah supaya dapat mencapai kejayaan yang seimbang dalam akademik juga sukan bagi melengkapkan pakej sebagai atlet berjaya,” katanya.

Sinar Harian
16 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment