Wednesday, July 14, 2010

Lima minit penuh ngeri

ARKIB 3 Julai 2010



17 pelajar berdepan detik cemas selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar

MUAR: Lima minit tempoh yang amat mencemaskan bagi 17 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, dekat Kundang Ulu di sini, semalam, apabila mereka terpaksa menyelamatkan diri dan membantu rakan lain selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar, tengah hari semalam.

Bot yang sepatutnya hanya boleh memuatkan lima penumpang itu dimasuki air beberapa saat selepas pelajar berkenaan menaikinya menyebabkan mereka terjun ke sungai yang arusnya deras walaupun sebahagiannya tidak pandai berenang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, semua pelajar termasuk empat perempuan, selamat.

Mereka yang tidak memakai jaket keselamatan, menaiki bot berkenaan menyeberangi Sungai Muar yang lazimnya mengambil masa lima minit, untuk pulang ke rumah di Kampung Liang Batu.

Semua mereka bernasib baik apabila kejadian itu berlaku hanya 20 meter dari tebing sungai dan sempat berpaut pada pancang kayu, selain dibantu rakan yang tahu berenang.
"Kejadian berlaku terlalu pantas. Dalam beberapa saat saja bot mulai karam selepas dimasuki air. Kami panik... semua yang menaiki bot itu menjerit ketakutan sehinggakan suasana menjadi kelam kabut.

“Semua pelajar dalam bot terus terjun ke dalam sungai. Mereka yang tahu berenang membantu rakan lain. Malah saya sendiri juga hampir lemas dan terkapai-kapai sebelum sempat ditarik seorang kawan,” kata seorang pelajar terbabit, Mohammad Amirul Hakimi Hanafi.
Ketika menceritakan detik mencemaskan itu, Mohammad Amirul, 14, berkata walaupun kejadian berlaku berhampiran tebing sungai, keadaan arus agak kuat menyebabkan ada di kalangan pelajar yang sukar menyelamatkan diri dan hampir lemas.

Menurutnya, semua pelajar itu, termasuk empat pelajar perempuan adalah kumpulan pertama yang menaiki bot itu, manakala sekumpulan lagi rakan mereka, termasuk guru menunggu giliran menaiki bot di jeti Pekan Kundang Ulu itu.

Pemandu bot, Fuad Hasbullah, 56, bersyukur kerana semua pelajar dibawanya, selamat.

“Mujurlah ada antara mereka sempat berenang dan berpaut di pancang kayu yang terletak berhampiran jeti Kampung Liang Batu. Keadaan mungkin sebaliknya jika berlaku di tengah Sungai Muar kerana arusnya kuat dan air dalam boleh menyebabkan pelajar hanyut serta tenggelam,” katanya.

Katanya, bot yang karam itu baru digunakan sejak akhir Mei lalu, selepas bot penambang biasa digunakan pelajar dan penduduk berulang alik ke Pekan Kundang Ulu, karam di Jeti Kampung Liang Batu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata siasatan awal mendapati bot itu membawa penumpang melebihi had yang menyebabkannya karam.

Katanya, kira-kira 17 pelajar dan pemandu bot berkenaan sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai berikutan lokasi karam hanya terletak 20 meter dari tebing.

“Bot itu sepatutnya hanya membawa kira-kira lima penumpang saja, tetapi sebaliknya, ia membawa melebihi dua kali ganda sehingga menyebabkan bot itu gagal menampung muatan itu lalu karam,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian
3 Jul 2010


15 pelajar selisih maut

LEDANG: “Jaket keselamatan yang disediakan tidak mencukupi, malah kami terpaksa berkongsi bagi menyelamatkan rakan lain yang tidak tahu berenang,” kata Salihin Abdul Jalal, 15, seorang daripada pelajar yang nyaris maut apabila bot yang dinaiki mereka untuk ke sekolah karam, semalam.

Dalam kejadian jam 12.11 tengah hari itu, 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Hulu berdepan saat getir apabila terpaksa terjun dari bot yang karam akibat lebih muatan.

Bagaimanapun, semua pelajar berkenaan berjaya menyelamatkan diri selepas mendapat bantuan daripada penduduk kampung berhampiran.

Mengimbau kembali pengalamannya, Salihin mengatakan dia terkejut kerana bot yang dinaiki mereka itu tiba-tiba dimasuki air dengan cepat.

“Sepatutnya setiap bot dibenarkan membawa lapan penumpang saja, tetapi pada hari ini (semalam), bot penambang itu dinaiki 16 penumpang termasuk jurukemudinya.

“Sejurus tiba di tengah sungai, bot tiba-tiba dimasuki air dan kami mula panik. Menyedari kejadian itu, kami terpaksa berdiri dan terjun untuk menyelamatkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui, di Jeti Kampung Liang Batu.

Lebih malang lagi, Salihin berkata, empat pelajar perempuan yang berada di dalam bot itu tidak tahu berenang dan mereka hanya menjerit meminta tolong.

Pada saat getir itu, Salihin mengarahkan rakan yang pandai berenang menanggalkan jaket keselamatan supaya dapat diberikan kepada pelajar perempuan berkenaan.

“Kejadian menyebabkan penduduk kampung terjun ke sungai menyelamatkan mereka. Tiada kemalangan jiwa, tetapi seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun pengsan sebaik diselamatkan kerana tertelan air ketika menyelamatkan diri,” katanya.

Pelajar berkenaan dihantar ke klinik berhampiran dan dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Ibu kepada seorang daripada mangsa, Nurhaliza Zakaria, 40, berkata anak perempuannya fobia untuk ke sekolah dengan menaiki bot selepas ini.

“Mungkin dia terpaksa ke sekolah menggunakan jalan darat iaitu berjalan sejauh 10 kilometer pergi dan balik setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Liang Batu, Aman Ayub menggesa kerajaan negeri mahupun Persekutuan supaya menyegerakan pembinaan jambatan yang dipohon penduduk sejak bertahun lalu.

“Kita bernasib baik kerana tiada nyawa melayang hari ini (semalam), tetapi sampai bila pelajar terpaksa menaiki bot untuk ke sekolah.

“Hampir setiap hari mereka terpaksa berdepan risiko termasuk mati lemas atau bot karam, jadi kami harap permintaan mendapatkan jambatan dapat direalisasikan segera,” katanya.

Dalam masa sama, Aman turut berharap pihak berkuasa dapat menyediakan sampan yang lebih besar serta lengkap dengan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan sebagainya yang bersesuaian.

myMetro
3 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment