Sehingga kini terdapat hampir 42 bot pukat tunda yang semakin bermaharajalela menceroboh Perairan Muar di Selat Melaka.
Permintaan itu kerana para nelayan sudah hilang sabar dan berasa tidak adil kerana kebanyakan nelayan pukat tunda menjalankan penangkapan ikan di kawasan kurang daripada lima batu nautika di tepi pantai.
Pengerusi Nelayan Sungai Balang, Md Jais Adnan, 46, berkata, dengan adanya lesen itu nelayan di sini tidak perlu berhadapan dengan masalah kekurangan hasil tangkapan serta boleh bersaing dengan nelayan pukat tunda haram yang lain.
Menurutnya, apa yang dikesalkan ialah lesen nelayan pukat tunda haram itu merupakan lesen hak milik individu, justeru itu, mereka juga mahukan lesen tersebut.
Md Jais berkata, mereka sangat aktif dalam menjalankan aktiviti penangkapan bermula sekitar jam 7 petang hingga 11 malam.
“Kebanyakan nelayan sering membuat pemantauan terutamanya pada waktu malam dan mengenal pasti nelayan pukat tunda dari Parit Botak, Batu Pahat sangat aktif melakukan pencerobohan ini,” katanya.
Salah seorang nelayan, Musa Zuki, 40, berkata, semenjak pencerobohan itu pendapatan semua nelayan merosot sehingga 50 peratus.
Menurutnya, kehadiran nelayan pukat tunda bukan hanya memusnahkan ekosistem hidupan laut dan pembiakan ikan kerana memukat ikan sekali gus ketika penangkapan dibuat, malahan juga menyebabkan ikan-ikan lari ke negara jiran.
“Kegiatan pencerobohan berlaku pada waktu malam, apabila nelayan keluar pada awal pagi, banyak ikan telah habis dan ada kalanya nelayan pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Musa berkata, nelayan pukat tunda haram telah melanggar syarat lesen, sepatutnya mereka menjalankan aktiviti penangkapan pada jarak lebih dari 12 batu nautika daripada pantai.
“Banyak aduan telah dilakukan, namun lebih menghairankan, apabila pihak berkenaan hendak melakukan operasi, nelayan pukat tunda berada di tengah laut dan seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Omar Atan, 53, berkata, sejak menjadi nelayan 43 tahun lalu, dia melihat masalah itu seakan-akan tiada penyelesaiannya.
“Saya jangka keadaan menjadi semakin teruk jika aktiviti nelayan pukat tunda ini tidak dihentikan segera,” katanya.
Katanya lagi, dia meminta pihak kerajaan supaya membuat kawalan di kawasan perairan Muar dan menghadkan jumlah bot tunda yang menangkap ikan di sekitar pesisiran laut.
“Turut menjadi persoalan kami ialah mengapa pihak kerajaan tidak melakukan pelaksanaan sebagai mana yang dilakukan negara jiran yang mengharamkan lesen pukat tunda ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Marin Daerah Muar, Asisten Superintendan Abd Lajis Tahir berkata, masalah pencerobohan pukat tunda itu sudah lama berlarutan dan pihaknya akan membuat siasatan segera.
Menurutnya, pemeriksaan dan kawalan di kawasan perairan Muar di Selat Melaka turut dilakukan bagi memantau pergerakan bot nelayan tunda itu.
“Diminta persatuan nelayan membuat aduan segera supaya kegiatan pencerobohan ini dapat dikawal dengan cepat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sinar Harian
23 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment