Sunday, July 18, 2010

Gegaria hangat

MUAR: Kehangatan Karnival Gegaria Harian Metro di Dataran Tanjung Emas, di sini, pada 24 dan 25 Julai ini semakin dirasai dan orang ramai yang ditemui teruja dengannya.

Pelukis tempatan, Keh Siong Huat, 53, berkata karnival itu bakal menjadi platform kepada peniaga dan usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka kerana ia pasti menarik perhatian ramai pengunjung.

“Karnival Gegaria Harian Metro bukan saja memberi manfaat kepada penganjur, malah peniaga. Pasti ramai yang berkunjung, seterusnya meningkatkan lagi pendapatan peniaga.

“Kami harap pada masa depan penganjurannya dilanjutkan lagi kerana walaupun belum berlangsung, sambutan diberi menunjukkan karnival ini ada tanda ‘meletup’,” katanya di sini, semalam.

Bagi Fauziah Abdul Malik, 45, program yang dianjurkan dilihat seimbang kerana selain berhibur dengan persembahan artis tempatan, ia turut menganjurkan program bercorak keagamaan.

“Karnival berkenaan dilihat seimbang kerana selain persembahan berkonsep hiburan, orang ramai turut dipersembahkan dengan program bercorak agama seperti Majlis Diskusi Addin,” katanya.

Selain itu, kehadiran artis tempatan yang akan membuat persembahan pada hari karnival turut mendapat reaksi baik orang ramai.

Pekerja swasta, Muhammad Helmi Khalid, 22, berkata dia teruja dengan kehadiran artis tempatan yang akan membuat persembahan pada karnival itu.

“Saya tidak sabar mahu bertemu artis pujaan yang akan membuat persembahan,” katanya.

“Bukan mudah untuk bertemu mereka secara langsung dan saya tidak akan melepaskan peluang ini,” katanya.

myMetro
18 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment