Wednesday, July 14, 2010

Dua penganggur dibicara semula dalam kes rompakan di Muar

ARKIB 5 Julai 2010

PUTRAJAYA Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya diadakan perbicaraan semula kes rompakan bersenjata membabitkan dua penganggur pada 2004.

Hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Sulaiman Daud sebulat suara menolak rayuan pendakwaan supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Muar yang mereka dibicarakan secara tidak adil.

Perbicaraan semula S Murthu, 33, dan V Veerakumar, 28, di Mahkamah Sesyen Muar dijadualkan Rabu ini.

Mereka didakwa bersama seorang lagi lelaki, A Sarawanan dan dijatuhi hukuman kerana melakukan rompakan bersenjata terhadap tiga lelaki warga Nepal membabitkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM2,500 di sebuah rumah di Batu 7, Jalan Bakri, Muar, Johor pada 2.20 pagi, 6 Jun 2004.

Sarawanan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan, manakala dua lagi tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun serta lapan sebatan.

Pada 24 Julai 2008, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Murthu dan Veerakumar supaya diadakan perbicaraan semula tetapi menolak permohonan Sarawanan kerana beliau melarikan diri. - Bernama

5 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment