Thursday, July 22, 2010

Kempen 10,000 langkah sehari bermula

TANJUNG EMAS – Kempen 10,000 langkah sehari telah dilancarkan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat ke arah amalan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal versi mudah iaitu berjalan kaki.

Seramai 1,000 peserta telah mengambil bahagian dalam kempen tersebut yang telah diadakan di Tanjung Emas, baru-baru ini.

Peserta kempen terbabit melibatkan semua kategori masyarakat di daerah Muar iaitu ketua jabatan, guru, pelajar, kakitangan pejabat kesihatan dan ketua kampung.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani berkata, kempen itu diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor yang telah dilancarkan pada 2008.

Menurutnya, kesinambungan daripada kempen itu telah diteruskan ke peringkat daerah Muar yang mana kempen itu diadaptasikan dari Kerajaan Queensland Australia apabila melihat ramai masyarakat di daerah itu menghadapi masalah kesihatan.

“Dengan adanya kempen ini dapat mendidik masyarakat di daerah Muar untuk mengamalkan gaya hidup aktif yang mudah, murah dan selamat dengan berjalan kaki sekurang-kurangnya 10,000 langkan sehari kerana ia dapat mengurangkan 500 kalori sehari.

“Secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah kesihatan seperti berat badan berlebihan, sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi,” katanya di sini.

Beliau berkata, pembangunan dan kemajuan negara boleh terjejas jika mempunyai ramai masyarakat yang tidak sihat.

“Diharapkan menerusi kempen ini masyarakat dapat mengubah cara hidup yang lebih aktif dan sihat,” katanya.

Sinar Harian
21 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment