Friday, July 23, 2010

Turut promosi Muar

MUAR: “Utamakan kebersihan,” itulah nasihat utama Setiausaha Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamuluddin A Hamid sempena Karnival Gegaria Harian Metro yang bakal berlangsung di Dataran Tanjung Emas bermula hari ini.

Kehadiran karnival anjuran akhbar bahasa Malaysia nombor satu negara ini juga dinanti MPM yang menyifatkan ia bertepatan dengan waktunya dalam usaha meningkatkan promosi daerah Muar sebagai destinasi pelancongan unik.

Bagaimanapun, pada masa sama beliau turut mengingatkan pengunjung yang menghadiri ke karnival itu supaya menitikberatkan soal kebersihan terutama berkaitan sampah-sarap.

“Pada Sabtu lalu, ‘Kempen Muar daerahku bersih idamanku’ dilancarkan bertujuan mendidik masyarakat setempat supaya membersih dan mengindahkan kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Karnival ini akan menjadi contoh dan ukuran terhadap keberkesanan kempen dilancarkan itu selain berhibur secara tidak langsung akan menjaga kebersihan sekitar tapak karnival diadakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Jamaluddin, karnival itu nanti dijangka dapat menarik minat lebih 100,000 pengunjung dari dalam daerah mahupun luar kawasan terutama Batu Pahat dan Melaka.

“Kami harap karnival ini akan memberikan kesan yang positif terhadap jumlah kehadiran pelancongan ke Muar pada masa akan datang.

“Ia kena pada waktunya kerana sempena tahun melawat Johor, Muar turut menjadi destinasi pelancongan wajib dikunjungi,” katanya.

Mengulas Muar sebagai destinasi pelancongan unik, beliau berkata, daerah ini terkenal dengan pelbagai makanan yang unik seperti asam pedas, mi bandung dan mi rebus.

Katanya, lebih 10 makanan tradisi masyarakat tempatan akan dijadikan hidangan penarik minat pengunjung selain beberapa tempat yang menarik untuk dikunjungi termasuk Dataran Tanjung Emas, Tanjung Ketapang dan Sabak Awor.

myMetro
23 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment