Wednesday, July 14, 2010

Penyanyi rotan anak masuk lokap

ARKIB 17 Mei 2010


TANGKAK: Akibat merotan dan memukul anak perempuannya atas alasan mengajar kerana berang apabila remaja itu enggan bersalam dengannya, bekas vokalis kumpulan rock yang popular pada 1990-an ditahan reman empat hari mulai Jumaat lalu.

Dalam kejadian di rumah isterinya di Tanjung Agas di sini, Isnin minggu lalu, penyanyi itu datang melawat anaknya yang tinggal bersama isteri selepas pasangan itu tinggal berasingan berikutan masalah rumah tangga.

Bagaimanapun, hasrat penyanyi berkenaan bertemu anaknya menjadi pengalaman buruk apabila berlaku pertengkaran sebelum penyanyi kumpulan rock itu memukul anaknya.

Sementara itu, remaja berusia 16 tahun berkenaan yang mendakwa ‘ajaran’ oleh bapanya terlalu kasar, memberitahu ibu sebelum mereka membuat laporan polis.

Menurut sumber, hasil laporan itu, sepasukan polis menahan penyanyi rock berkenaan di rumahnya di Jalan Lama, Muar, kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu.

“Suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan kes memukul remaja terbabit.

“Kes di siasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000,” katanya.

Difahamkan, selepas membuat laporan polis, mangsa ditemani ibunya ke Hospital Tangkak untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesahkan kesan dirotan serta pukul selain mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, kecederaannya tidak serius dan remaja itu dirawat sebagai pesakit luar.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan penahanan penyanyi rock terbabit dan kini menunggu arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sebelum tindakan lanjut termasuk kemungkinan mendakwa penyanyi itu.

myMetro
17 Mei 2010


Rotan anak: Mael XPDC direman

MUAR 16 Mei - Vokalis kumpulan rock XPDC, Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim (gambar), 42, direman tiga hari sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes memukul anak gadisnya berusia 16 tahun, di tangan, pada 10 Mei lalu.

Mael ditahan selepas isterinya membuat laporan polis pada hari kejadian di rumah wanita itu di Tanjung Agas, Ledang.

Difahamkan berikutan itu, anaknya yang dipukul dengan tangan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tangkak di sini, selepas kejadian tersebut.

Menurut sumber, Mael dengan isterinya tinggal berasingan namun dia dibenarkan untuk melawat anaknya dari semasa ke semasa.

Ketika kejadian, isteri Mael tiada di rumah kerana keluar bekerja dan perselisihan faham dikatakan berlaku kerana anaknya itu enggan bersalaman dengannya.

Siasatan polis terhadap kes penyanyi tersebut dibuat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Utusan Online
17 Mei 2010


Mael XPDC kena RM500



TANGKAK: Akibat mengajar anak, vokalis kumpulan rock XPDC, Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencederakan anak perempuannya berusia 16 tahun di rumah isterinya di Tanjung Agas, 9 Mei lalu.

Mael, 42, yang lebih dikenali sebagai Mael XPDC, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Salina Omar.

Dia didakwa dengan sengaja melakukan cedera kepada anaknya di sebuah rumah di Jalan Ahmad, Tanjung Agas, pada jam 7.30 malam sebelum dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhil Mat Satris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Fadhil dalam hujahnya, berkata pengadu dalam kes itu adalah isteri tertuduh sendiri yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati, Isnin lalu dengan mendakwa tertuduh memukul anak perempuannya di bahagian tangan dan kaki dengan menggunakan sebatang rotan serta tangan.

Susulan daripada laporan itu, pasukan polis menahan Mael di rumahnya di Jalan Kim Kee, Muar, kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu.

Mael dalam rayuannya, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung lima anak.

Terdahulu di mahkamah sama, Mael turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis ‘Tetrahydrocannabinol’ kepada diri sendiri ketika ditahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau dikenakan penjara sehingga dua tahun dan pengawasan mengikut Seksyen 38B dan dibaca bersama Seksyen 6 Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) sehingga tiga tahun.

Bagi kesalahan itu mahkamah menetapkan 21 Jun untuk sebutan semula kes berikutan belum menerima laporan ujian dadah dan dibebas dengan jaminan RM2,500.

myMetro
18 Mei 2010

0 comments:

Post a Comment