TAMAN FAJAR 2 - Keadaan sistem perparitan yang tidak sempurna di Taman Fajar 2, Bakri, di sini menimbulkan keresahan kepada sebahagian besar penduduk di kawasan itu.
Penduduk mendakwa, masalah air bertakung di parit berkenaan disebabkan pembinaan parit konkrit berbentuk U yang menghalang kelancaran aliran air menjadikan keadaan lebih buruk apabila terdapat segelintir penduduk dan peniaga berhampiran yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di dalam parit itu.
Penduduk yang hanya dikenali Teo, 60, berkata, keadaan parit yang sentiasa mengandungi air bertakung itu berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Menurutnya, sebelum ini keadaan perparitan di sini sangat teruk dan dipenuhi dengan sampah kerana kerja pembersihan parit jarang dilakukan sekali gus memburukkan lagi keadaan parit ini.
“Namun, sejak akhir-akhir ini ada sedikit perubahan apabila sampah di dalam parit dibersihkan pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Walau bagaimanapun, masalah air bertakung itu perlu diatasi segera supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
Manakala peniaga di kawasan berhampiran, Asir Ahdan Bahri, 22, berkata, air parit kehitaman itu akan mengeluarkan bau busuk dan meloyakan apabila hujan.
Keadaan itu katanya, memberi ketidakselesaan ketika berniaga dan juga kepada pelanggan yang membeli di gerainya.
Menurutnya, masalah itu dilihat berpunca daripada pembinaan parit konkrit berbentuk U itu sangat tidak sesuai kerana menyekat kelancaran pengaliran air.
“Bahkan, pembinaan parit ini juga tidak seragam apabila terdapat parit lama dan kecil yang masih tidak diganti dengan yang baru.
“Ini turut menyebabkan aliran air di parit lama tersekat dan berlaku limpahan air di kawasan berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung kawasan berkenaan Salleh Ahmad Shukor berkata, pihaknya menyedari kesulitan yang terpaksa dihadapi penduduk di sini akibat daripada pembinaan parit terbabit.
Menurutnya, perancangan peringkat awal adalah dengan membina parit terus bermula dari Bakri batu 5 hingga ke Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Muar.
“Tetapi tidak menjangkakan pembinaan ini menjadi sebaliknya sekali gus menyusahkan penduduk.
“Saya juga memanjangkan isu pembinaan parit berbentuk U kepada penghulu dan Pejabat Daerah Muar,” katanya.
Katanya, namun mungkin disebabkan oleh masalah yang tidak dielakkan menyebabkan kerja pengubahsuaian parit itu terhenti.
Sinar Harian
17 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment