BAKRI - Seorang warga emas memohon supaya ada pihak tampil memberikan bantuan membina rumah baru kepadanya berikutan keadaan rumahnya yang terlalu uzur.
Leman Samad, 63, berkata, pendapatannya sebagai seorang tukang kebun di sebuah nurseri di daerah ini tidak cukup untuknya membina rumah yang baru.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan rumah itu boleh diibaratkan seperti menunggu masa untuk rebah menyembah bumi disebabkan struktur rumah telah reput dimakan anai-anai.
Namun lebih menyedihkan, keseluruhan dinding rumah itu telah senget dan bergoyang, ditambah pula kayu pada bumbung rumahnya itu telah patah.
Menurutnya, rumah itu dibina sejak 43 tahun lalu menggunakan kayu terpakai yang dibeli daripada salah seorang rakan lamanya.
“Namun keadaan rumah ini menjadi semakin teruk sejak 10 tahun lalu dan sangat membimbangkan kerana boleh tumbang bila-bila masa.
“Suasana menjadi lebih teruk apabila waktu hujan kerana dalam rumah akan turut basah disebabkan hampir kesemua zink di rumah ini telah bocor,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, beliau berasa sedih dengan keadaan itu, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan kesihatan isterinya yang kurang memuaskan kerana menghidap penyakit barah perut.
“Anak-anak ada memberi bantuan tetapi sekadar yang mereka mampu memandangkan mereka sudah mempunyai keluarga sendiri dan kehidupan mereka tidak berapa stabil.
“Saya telah membuat permohonan mendapatkan bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak dua tahun lalu namun sehingga kini masih tiada jawapannya,” katanya.
Manakala Ketua Komuniti kampung berkenaan, Mohd Nor Limat berkata, pihaknya ada membantu membuat permohonan dengan PPRT namun permohonan itu telah ditolak sebanyak dua kali.
Pihaknya ada membantu membuat permohonan mendapatkan bantuan rumah daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor Cawangan Muar baru-baru ini dan diharapkan permohonan berkenaan berjaya,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber Majlis Agama Islam Negeri Johor Cawangan Muar ketika ditemui Sinar Harian berkata, pihaknya akan menyiasat berhubung kes tersebut bagi memastikan Leman mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, bagaimanapun setiap permohonan mendapatkan rumah bantuan Baitulmal akan dihantar ke Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor terlebih dahulu untuk proses penilaian.
“Setiap permohonan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk mengetahui status permohonan yang dikemukakan,” katanya.
Sinar Harian
6 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment