Wednesday, July 14, 2010

Padah pakai skirt pendek

ARKIB 12 Julai 2010

MUAR: Gara-gara memakai skirt pendek dan gagal mematuhi peraturan pakaian seragam sekolah, seorang pelajar perempuan tingkatan enam mendakwa ditampar sebanyak lima kali oleh seorang guru lelaki sehingga meninggalkan kesan lebam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Rabu lalu, di sebuah sekolah menengah di Jalan Tengku Bendahara di sini, pelajar itu mendakwa terpaksa menanggung kesakitan selepas ditampar.

Difahamkan, pelajar itu sebelum ini pernah diberi peringatan oleh guru terbabit supaya mematuhi peraturan memakai skirt sekolah melebihi paras lutut.

Pelajar yang mahu dikenali sebagai Lee berkata, kejadian berlaku ketika waktu rehat apabila dia bersama rakannya berjalan berhampiran bilik guru sebelum dipanggil guru berkenaan.

“Saya mengaku salah kerana dua minggu lalu guru itu menegur perkara sama namun saya tidak mempunyai wang mencukupi membeli skirt baru.

“Ketika disoal, saya berjanji mematuhi peraturan itu secepat mungkin tetapi dia seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan,” katanya, semalam.

Lee berkata, dia terkejut apabila guru berkenaan menamparnya di pipi kanan sehingga meninggalkan kesan lebam.

“Saya bukan saja ditampar lima kali, malah guru itu menuduh saya biadab kerana menjawab soalannya. Saya turut tersinggung dengan kejadian itu selain bimbangkan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Gwee Tong Hiang berkata, beliau kesal dengan kejadian, malah menggesa Kementerian Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah Muar menjalankan siasatan.

“Hukuman seperti itu tidak seharusnya dipraktikkan di sekolah kerana ia boleh mengundang masalah tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Ramli Abd Samat, berkata pihaknya sudah menerima aduan berkaitan kejadian dan tindakan akan diambil termasuk mengadakan pertemuan membabitkan kedua-dua pihak.

“Siasatan lanjut akan dilakukan selepas ini, sebelum tindakan,” katanya.

myMetro
12 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment