Thursday, July 22, 2010

Bahang kian terasa

MUAR: Kemeriahan Karnival Gegaria Harian Metro yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini di Dataran Tanjung Emas semakin dirasai apabila kontraktor dilantik penganjur mula memasang kelengkapan diperlukan.

Antara kelengkapan didirikan termasuk lebih 40 khemah Industri Kecil Sederhana (IKS) yang bakal menempatkan peniaga dan usahawan tempatan serta penaja karnival berkenaan.

Malah, bandar Muar juga akan berubah wajah bermula esok (hari ini) apabila sebanyak 150 kain rentang sempena karnival itu mula dipasang sebagai sebahagian cara mempromosi karnival selama dua hari berkenaan.

Eksekutif Penjenamaan Harian Metro, Zurani Abdullah berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima lebih 30 tempahan daripada peniaga dan usahawan tempatan yang bersedia memasarkan produk masing-masing.

“Bermula esok (hari ini) kain rentang sempena mempromosi karnival akan mula digantung di tiang elektrik bandar daerah ini.

“Ia bertujuan merancakkan lagi suasana kemeriahan karnival selain menarik minat pengunjung,” katanya.

Peniaga, Abdullah Ridzuan, 33, berkata dia tidak sabar memasarkan produknya kepada orang ramai yang berkunjung ke karnival itu. Abdullah juga mengakui dia peniaga tetap dan sering mengikuti Karnival Gegaria Harian Metro di beberapa lokasi sebelum ini termasuk di Taiping, Perak dan Batu Pahat pada tahun lalu.

“Percaya atau tidak sebelum ini saya mampu mengaut keuntungan lebih RM10,000 sepanjang dua hari berniaga di karnival ini,” kata pengusaha butik dari Melaka itu.

Seorang lagi peniaga, Fatimah Sulaiman, 35, berkata dia sanggup datang dari Perlis semata-mata ingin merebut peluang berniaga di sekitar tapak karnival diadakan.

Selain itu, ada gerai yang turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk pengunjung.

Orang ramai berminat membuat tempahan tapak gerai boleh menghubungi urus setia karnival di talian 03-20567105 atau 017-6290198 untuk keterangan lanjut.

myMetro
22 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment