Saturday, July 17, 2010

Kerjasama 10 agensi

MUAR: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan menyokong sepenuhnya penganjuran julung kalinya Karnival Gegaria Harian Metro 2010 yang bakal diadakan di Dataran Tanjung Emas pada 24 dan 25 Julai ini.

Pada mesyuarat pertama kali diadakan di pejabat Harian Metro di sini, semalam, lebih 10 jabatan dan agensi kerajaan menyatakan kerjasama mereka dalam menganjurkan karnival dua hari itu.

Antara jabatan dan agensi kerajaan yang menghadiri mesyuarat tiga jam itu ialah Pejabat Daerah Muar, Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Rela.

Ketika mesyuarat, semua agensi berkenaan sudi memberikan kerjasama termasuk membekalkan kakitangan serta menyediakan tapak karnival bersesuaian untuk orang ramai berkunjung.

Eksekutif Penjenamaan Harian Metro, Zuraini Abdullah berkata, mesyuarat diadakan hari ini (semalam) bertujuan mencapai kata sepakat untuk penganjuran karnival kali ini.

“Pada masa sama, kami turut membincangkan aktiviti bakal mewarnai karnival termasuk persembahan kebudayaan, artis dan demonstrasi daripada pihak berkuasa.

“Selain daripada itu, lebih 40 tapak gerai akan disediakan untuk memberi peluang kepada peniaga tempatan mengembangkan perniagaan mereka yang dibuka pendaftarannya pada minggu depan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat itu.

Menurut Zuraini, MPM akan memberi bantuan promosi dengan menggantung 150 kain rentang di seluruh bandar Muar dan Ledang.

Manakala Pejabat Daerah Muar bersetuju menyediakan tapak karnival termasuk gerai Industri Kecil Sederhana (IKS) yang akan mula didirikan khemahnya Selasa ini.

myMetro
17 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment