REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Thursday, January 31, 2013

Jeritan selamatkan nyawa


Azizah mencari barangan kemas miliknya yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian kebakaran 11 Januari lalu.

MUAR – Tanggal 11 Januari lalu pasti tidak dapat dilupakan Azizah Mohd Aroff, 59, yang terselamat dalam kejadian kebakaran melibatkan dua deretan rumah yang hampir meragut nyawanya di Jalan Abdul Rahman, dekat sini.

Dalam kejadian itu, Azizah seolah-olah diberi peluang kedua apabila jeritan ibu saudaranya, Hapsah Mohamed, 84, yang juga salah seorang mangsa kebakaran itu menyelamatkannya yang sedang tidur.

Biarpun terselamat dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, Azizah melecur di tangan ketika cuba menyelamatkan dokumen penting walaupun usahanya itu tidak berjaya.

Akibat kejadian itu, dia kehilangan kediaman pusaka yang dihuninya sejak lahir dan menanggung kerugian hampir RM 50,000.

“Tidak ada satu pun barangan yang dapat diselamatkan dan saya hanya mampu melihat rumah hangus dijilat api dalam linangan air mata.

“Walaupun sedih, tetapi sangat bersyukur kerana ALLAH masih panjangkan umur saya dan ibu saudara yang  terselamat dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Azizah yang belum mendirikan rumah tangga dan menetap sendirian di rumah berkenaan berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku berpunca dari ubat nyamuk lingkaran yang dipasang ibu saudaranya terjatuh di atas tilam.

“Ibu saudara terjaga dari tidur apabila terkena percikan api yang sedang membakar tilam.

“Pada mulanya, ibu saudara cuba memadamkan api tetapi gagal kerana api marak terlalu cepat sebelum  merebak ke rumah saya ”katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpanya dan ibu saudara mendapat perhatian beberapa pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan wang tunai termasuk Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

"Buat ketika ini saya menumpang tinggal di rumah anak saudaranya di Kampung Seri Menanti, dekat sini.

“Saya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan rumah baru dari Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan berharap ia dapat diluluskan segera,” katanya.

Sinar Harian
31 Jan 2013

Wednesday, January 30, 2013

PDK Johor terbaik negara


Jamilah menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Bungkusan Sumbangan Juita Sempena Tahun Baru Cina di SJKC Chung Hwa 2A, semalam.

MUAR – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Johor diiktiraf sebagai PDK terbaik negara dengan 66 pusat PDK seluruh negeri, sekaligus merekodkan bilangan terbanyak berbanding negeri lain.

Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita), Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin berkata, pengiktirafan tersebut dibantu dengan kejayaan 14 projek Juita menerusi Projek Juitaku Sayang.

Menurutnya, Juita amat sinonim membantu serta membela ibu tunggal dan projek yang dilaksanakan telah mengubah taraf kehidupan ibu tunggal menjadi lebih baik.

“Ibu tunggal disarankan merebut peluang dan diminta mendaftar menjadi sahabat Juita untuk membolehkan mereka mengikuti kursus yang disediakan Juita.

“Ketika ini, Juita sedang melatih kira-kira 3,000 ibu tunggal dalam pelbagai bidang termasuk industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bungkusan Sumbangan Juita Sempena Tahun Baru Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 2A di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Jamilah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian kepada 70 murid dan 30 warga emas.

Jamilah berkata, Juita mempunyai kelengkapan peralatan yang lengkap seperti dalam bidang jahitan dan urutan refleksologi.

“Ramai ibu tunggal yang mengikuti kursus ini mampu meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan,” katanya.

 Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa yang mempunyai anak cacat agar tidak berasa malu untuk mendaftar dan menghantar anak mereka mengikuti kelas di PDK berhampiran.

“PDK negeri ini sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan ramai bekas pelatih  dapat berdikari dengan menggunakan kemahiran yang mereka perolehi sepanjang menjadi pelatih PDK,” katanya.

Sinar Harian
28 Jan 2013

Bank Rakyat bantu pesakit tak mampu


Abdul Lidzam (dua, kanan) menyerahkan peralatan perubatan kepada salah seorang penerima pada program Sentuhan Kasih CSR Bank Rakyat 2013 di HPSF, di sini, semalam.

MUAR – Bagi meringankan beban pesakit kurang berkemampuan, Bank Rakyat menunaikan tanggungjawab sosialnya dengan menyumbangkan tujuh kerusi roda dan 14 peralatan perubatan.

Sumbangan yang diserahkan melalui program Sentuhan Kasih Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bank Rakyat 2013 itu disampaikan Ketua Bank Rakyat Wilayah Selatan, Abdul Lidzam Muhammad Alias kepada penerima terlibat dan Tabung Kebajikan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang diwakili Dr Norizan Abdullah, di Dewan Saujana HPSF di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengurus Bank Rakyat cawangan Muar, Khadijah Aini Othman dan Ketua Unit Pembiayaan Bank Rakyat cawangan Muar, Nor Azman Mohd  Ali.

Dua kerusi roda dan empat peralatan perubatan diberikan kepada pesakit dan bakinya disumbangkan untuk tabung berkenaan khusus untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan membeli kemudahan tersebut.

Abdul Lidzam berkata, program itu bertujuan membantu pesakit kurang berkemampuan yang dibebani dengan kos  perubatan.

“Program ini adalah pembuka tirai 2013 bagi aktiviti Bank Rakyat di Wilayah Selatan dan selain membantu pesakit, Bank Rakyat juga melakukan penyerahan zakat, membaiki rumah, aktiviti pemuliharaan alam sekitar seta pelbagai lagi," katanya.

Dalam pada itu, Norizan yang juga Timbalan Pengarah Perubatan HPSF menghargai sumbangan tersebut dan berharap kerjasama itu diteruskan lagi pada masa akan datang.

Menurutnya, sumbangan berkenaan tepat pada masanya kerana pada tahun lalu, seramai 1,440 pesakit berdaftar dengan Jabatan Kerja Sosial HPSF dan majoritinya adalah golongan kurang berkemampuan.

“Selain itu, pihak HPSF juga menyediakan rumah kasih atau penginapan sementara untuk waris yang menghantar pesakit ke hospital ini tetapi tidak punya penginapan.

“Rumah kasih di HPSF ini khusus untuk mereka yang tinggal jauh dari daerah ini. Rumah berkenaan baru sahaja beroperasi pada hujung tahun lalu,” katanya.

Seorang penerima, Fatimah Aziz, 38, dari Tanjung Gading Laut bersyukur kerana menerima mesin penyedut kahak untuk anaknya, Norazira Ahmad, 10, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan mengidap sakit saraf sejak lahir.

Menurutnya, mesin itu akan meringankan penderitaan anak bongsunya yang tidak boleh berjalan dan mengalami kesukaran bernafas sejak dibedah pada Jun lalu.

Sinar Harian
25 Jan 2013

Lebih RM1 bilion untuk atasi masalah banjir Muar


DOUGLAS Uggah Embas (tengah) bertanya sesuatu kepada Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Muar, Ir. Mohd. Hayal Atan (kanan) ketika melawat kawasan Rancangan Tebatan Banjir di pintu air Sungai Pagoh, Muar, baru-baru ini. - BERNAMA



MUAR 31 Jan. - Lebih RM1 bilion diperuntukkan untuk fasa pertama dan kedua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Muar, merangkumi daerah Segamat, Muar, Ledang dan Pagoh dalam usaha menangani masalah itu di utara negeri ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, projek berkenaan apabila siap kelak akan melindungi 12,500 penduduk di kawasan berisiko banjir yang berkeluasan 123.2 kilometer (km) persegi.

Beliau memberitahu, fasa pertama di Segamat telah dimulakan pada 2011 dan masih dalam pelaksanaan dengan kos RM344 juta manakala fasa kedua melibatkan Muar, Ledang dan Pagoh dimulakan Disember lalu dengan kos RM225 juta.

"Daripada peruntukan RM225 juta itu, kita dapat RM30 juta dulu untuk Pagoh. Setakat ini, pembinaan benteng sungai di Pagoh sepanjang sembilan kilometer (km) melibatkan sembilan pintu air dengan kos RM5 juta sudah 40 peratus siap.

"Selebihnya, 12km lagi sedang dalam proses untuk melancarkan perjalanan air dari Sungai Pagoh terus ke kuala Sungai Muar," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak menaik taraf Sungai Pagoh di sini kelmarin.

Douglas Uggah berkata, dalam fasa kedua selepas ini akan dibina pintasan Tanjung Olak, menaik tarif sungai dan saliran di pekan Pagoh serta pengalihan utiliti dan tanah yang dijangka siap secara keseluruhan pada 2015.

Beliau berkata, fasa pertama dan kedua dengan kos RM569 juta termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) manakala fasa ketiga (RM480 juta).

Tentang fasa pertama, beliau berkata, projek itu membabitkan sungai-sungai di Segamat yang dibahagikan kepada beberapa bahagian dengan kos RM60 juta, melibatkan kerja-kerja reka bentuk, kerja ukur, pengambilan tanah dan menaik taraf sebahagian Sungai Genuang.

"Peringkat seterusnya melibatkan RM231 juta menerusi kerja-kerja menaik taraf Sungai Chodan dan Sungai Segamat, selain menaik taraf jambatan di Sungai Genuang-Sungai Segamat termasuk membina lencongan banjir Sungai Genuang-Sungai Segamat.

"Bahagian seterusnya dengan kos RM53 juta untuk membina benteng dan menaik taraf Sungai Gemas, selain membina lima buah kolam takungan banjir dan struktur kawalan air serta membekal dan memasang pam," katanya.

Utusan
31 Januari 2013

Siasat dakwaan nelayan rugi RM712,000


MUAR 23 Jan. - Pusat Khidmat Parlimen Muar akan menyiasat dakwaan 72 nelayan di Parit Jawa dekat sini, yang mendakwa jaring mereka rosak sehingga kerugian RM712,000 akibat kegiatan sebuah kapal mengorek pasir di kawasan tangkapan ikan.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati aktiviti yang dijalankan kapal itu mengikut semua peraturan ditetapkan termasuk mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan tiada sebarang aduan diterima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar atau pusat khidmat tersebut.

"Sebarang masalah yang timbul, kita perlu bincang untuk cari penyelesaiannya. Kita minta pengadu guna saluran betul, jangan bila ada masalah kita berdemonstrasi.

"Ini bukan caranya kerana demonstrasi mencemar imej nelayan Muar yang sebelum ini tidak bermasalah.

"Dakwaan ini perlu disiasat terlebih dahulu dan andai kata memang ada jaring terjejas, syarikat kapal itu sanggup membayarnya tetapi mesti ada buktinya," katanya dalam majlis penyerahan elaun hidup nelayan di Pantai Leka, Parit Jawa, di sini baru-baru ini.

Rabu lalu, kira-kira 34 daripada 72 nelayan yang menuntut kerugian itu melakukan demonstrasi dengan disertai Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa di kawasan pantai tersebut supaya syarikat yang mengendalikan kerja-kerja mengorek pasir membayar ganti rugi.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya dimaklumkan nelayan-nelayan terbabit membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa dekat sini, tetapi siasatan masih belum dilakukan dan mereka perlu mempunyai bukti jaring-jaring tersebut 'benar-benar' rosak.

Menurut beliau, terdapat banyak perkara meragukan dan memerlukan bukti kukuh kerana jumlah dituntut terlalu besar berbanding harga jaring iaitu hanya RM100 atau RM200 setiap satu.

"Hanya nelayan Cina mendakwa mengalami kejadian jaring rosak tetapi nelayan Melayu tidak berdepan masalah itu sedangkan kawasan tangkapan ikan adalah sama.

"Kapal tersebut juga beroperasi hanya dua jam sehari di kawasan kira-kira 16 batu nautika dari kawasan pantai dan bukan mengorek pasir di kawasan nelayan menangkap ikan. Nelayan juga sudah dimaklumkan untuk tidak menghampiri kapal itu apabila kerja-kerja mengorek pasir sedang dijalankan," katanya.

Sehubungan itu tambahnya, sebarang tuntutan palsu hanya akan merugikan nelayan terbabit kerana jika syarikat berkenaan didapati tidak bersalah dikhuatiri mereka akan mengemukakan saman terhadap nelayan-nelayan berkenaan.

Dalam masa sama, Razali turut mengingatkan nelayan di Parit Jawa tidak diperalatkan pihak tertentu demi kepentingan politik.

Utusan
24 Jan 2013

Jangan politikkan pendidikan


MUAR 21 Jan. - Pihak tertentu diminta tidak mempolitikkan bidang pendidikan kerana kerajaan sentiasa mementing dan mengambil berat aspek berkenaan sejak dahulu.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, tiada alasan setiap keluarga tidak memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka kerana sememangnya kerajaan mahu semua rakyat menerima pendidikan sehingga ke tahap tertinggi.

"Ini dibuktikan dengan peruntukan besar dikeluarkan setiap tahun termasuk Bantuan Khas Awal Persekolahan yang diterima setiap pelajar sejak tahun lalu tanpa mengira latar belakang dan kaum.

"Dalam soal pendidikan kita tidak boleh main politik, kerajaan BN (Barisan Nasional) dari dulu sampai sekarang beri peruntukan besar untuk pendidikan," katanya dalam majlis penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina San Chai, Parit Unas di sini kelmarin.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, bantuan persekolahan berkenaan boleh merangsang anak-anak untuk meneruskan persekolahan dan melakukan transformasi seperti disaran kerajaan.

"Dulu jika nak buka sekolah, ibu bapa pening kepala kerana perlu bayar yuran, buku teks, pakaian seragam. Sekarang sudah ada buku teks percuma, yuran tak perlu bayar dan mulai tahun lalu kerajaan beri pula bantuan khas awal persekolahan," katanya.

Menurutnya, sebanyak 144 murid sekolah berkenaan, manakala 52 lagi sekolah di kawasan Parlimen itu juga akan menerima bantuan itu secara berperingkat-peringkat.

Bantuan tersebut diagihkan secara berperingkat-peringkat kepada kira-kira 5.4 juta pelajar di 10,019 sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai minggu lalu seperti yang diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2013 tahun lalu.

Utusan
22 Jan 2013

1,000 dapat Bantuan Persekolahan


TAHIR Taat menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 kepada pelajar di SMK Tengku Temenggung Ahmad, Grisek, Pagoh, semalam.

PAGOH 22 Jan. - Hampir 1,000 murid dan pelajar dari enam sekolah di sekitar Grisek menerima Bantuan Persekolahan sebanyak RM100 seorang dalam majlis yang diadakan di dua buah sekolah, di sini hari ini.

Ia melibatkan sebuah sekolah menengah kebangsaan, tiga sekolah kebangsaan dan selebihnya sekolah jenis kebangsaan Cina yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat.

Tahir berkata, walaupun ada yang menganggap wang RM100 untuk setiap pelajar itu tidak seberapa, namun ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ibu bapa.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh berkata, bantuan berkenaan adalah satu daripada inisiatif kerajaan membantu rakyat dalam bidang pendidikan sebagai usaha mencapai status negara maju.

"Kita memerlukan ramai modal insan dan untuk itu kerajaan perlu memberikan pendidikan secukupnya kepada semua golongan masyarakat," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian bantuan itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kung Yu, di sini.

Tahir berharap bantuan tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meringankan beban ibu bapa terutama golongan yang memiliki ramai anak dan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Hasyimah Hassan, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggung Ahmad, di sini akan menggunakan wang itu untuk membeli buku memandangkan dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

"Bantuan ini memang mampu meringankan beban keluarga. Terima kasih kepada kerajaan yang membantu," katanya.

Kerajaan pada minggu lalu mula mengagihkan bantuan khas itu dan negeri ini menerima sebanyak RM60.5 juta yang membabitkan seramai 605,848 pelajar.

Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar menerima peruntukan RM7.1 juta merangkumi daerah Muar, Ledang, Pagoh serta Bakri dengan melibatkan 76,154 pelajar dari 211 buah sekolah rendah dan menengah.

Utusan
23 Jan 2013

Polis nafi dakwaan peniaga


MUAR 26 Jan. - Polis daerah ini menafikan dakwaan kerap berlaku kes pecah kedai runcit di sekitar Parit Raja, di sini kerana hanya menerima tiga laporan iaitu dua kes berlaku tahun lalu dan satu pada tahun ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dua kes pecah kedai runcit itu dilaporkan berlaku April dan November tahun lalu, manakala terbaru satu kes tahun ini.

"Keadaan adalah terkawal dan tidak berlaku kegiatan pecah kedai dalam masa dua bulan sekali. Dalam pada itu, kita nasihatkan pemilik kedai supaya melaporkan kepada polis supaya tindakan susulan boleh diambil," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan peniaga bahawa kes pecah kedai di Parit Raja terutama di Jalan Temenggong Ahmad dan Jalan Dato' Haji Kosai kerap berlaku pada waktu tengah malam sejak kebelakangan ini.

Utusan
27 Jan 2013

Pesara tentera maut nahas


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam nahas jalan raya di di Jalan Muar-Bakri berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri, semalam.

MUAR – Seorang warga emas maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya yang membabitkan dua motosikal di Jalan Muar-Bakri berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi itu,  pesara tentera, Yatim Shrani, 65, dari Kampung Parit Bakar Darat, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang sendirian menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dikatakan baru keluar dari persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai menghala ke bandar Muar.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggangi warga emas itu terbabit dalam kemalangan dengan motosikal lain yang datang dari arah Bakri menghala ke bandar Muar.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal terjatuh dan  meragut nyawa warga emas terbabit.

Manakala seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC terselamat dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kerana mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian  anggota badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Mayat warga emas itu  di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


SINAR HARIAN
29 Januari 2013

Wednesday, January 23, 2013

Guru Dan Dua Anak Maut Dihempap Konkrit Binaan Dari Lori Treler





3 korban tiang konkrit

Muar: “Ya Allah, anak aku Azem, Balqis. Ya Allah.. Esah,” raung Md Ghazali Salamon, 46, sebaik jenazah isteri serta dua anaknya diletakkan di beranda rumahnya di Batu 14, Bukit Naning, Jalan Air Hitam-Muar, di sini, semalam.

Sebelum itu, Md Ghazali terpaksa menunggu hampir sejam ketika anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat tiga beranak berkenaan yang terbunuh selepas Proton Persona dinaiki mereka dihempap lori 10 tan membawa tiang konkrit.

Kemalangan ngeri itu berlaku betul-betul di depan rumah mereka di Batu 14, Bukit Naning, Jalan Air Hitam-Muar, di sini, pada jam 1.20 tengah hari semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Ngaisah Redzuan, 46, yang juga guru matematik di Sekolah Kebangsaan Bukit Naning dalam perjalanan pulang ke rumah bersama anak, Puteri Balqis Sofea Md Ghazali, 10, dan Faatirrohullah al Azzem, 12.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, Ngaisah dikatakan membelok ke kiri jalan untuk memasuki pekarangan rumahnya, namun lori terbabit yang mengekori di belakang tiba-tiba terbabas sebelum terbalik dan muatannya menimpa kereta dinaiki mangsa.

myMetro 
24 Jan 2013


‘Cikgu baik sangat’

“Kenapa cikgu dan Azzem mati, kenapa bukan orang lain. Cikgu dan Azzem sangat baik, kenapa kena mati awal,” kata Nor Natasha Kamaruzain, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naning.

Nor Natasha adalah murid Ngaisah Redzuan, 46, yang juga guru matematik di sekolah itu dan berkawan rapat dengan Faatirrohullah al Azzem Md Ghazali, 12 yang belajar sekelas dengannya.

“Cikgu Ngaisah mengajar saya subjek matematik. Dia cikgu yang penyayang dan lemah lembut, Azzem pula ringan tulang serta suka membantu rakan,” katanya.

Rakan Ngaisah yang hanya dikenali sebagai Shidah, 47, pula berkata arwah beria-ia meminta dia dan kakitangan sekolah memasang langsir baru pada hari ini sempena kedatangan Nazir Sekolah ke sekolah kami.

“Arwah seolah-olah lupa bahawa esok (hari ini) adalah cuti umum sempena Maulidur Rasul,” katanya yang juga pembantu kantin di SK Bukit Naning. 

myMetro 
24 Jan 2013


Suami ratapi kematian isteri, dua anak akibat dihempap lori 10 tan

Lokasi kejadian menunjukkan keadaan kereta yang tertimbus di bawah lapisan konkrit. 

Kerja-kerja menyelamat dan memindahkan konkrit menggunakan bantuan dua jentera forklift. 

Ghazali yang kesedihan cuba ditenangkan ahli keluarganya. 

Ghazali meratap sambil memeluk salah seorang anaknya yang terkorban dalam nahas ngeri itu.

MUAR – Hanya laungan nama Ngaisah, Balqis dan Azzem berulang kali memecahkan suasana pilu di kediaman Ghazali Salamon, 45, yang meratapi jenazah tiga ahli keluarganya selepas semua mangsa dikeluarkan dari timbunan barangan konkrit bahan binaan.

Ghazali merupakan suami kepada mangsa kemalangan, Ngaisah Redzuan, 46, bersama dua anaknya, Faatiorrohirullah Al Azzem Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10; maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah kereta Proton Persona dengan lori sarat membawa muatan konkrit di Batu 14 Jalan Muar-Air Hitam, berhampiran Bukit Naning dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Bagaimanapun usaha untuk menemu bual Ghazali iaitu Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Umno Bahagian Bakri,. tidak berjaya berikutan keadaannya yang tidak mengizinkan dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarganya.

Lebih memilukan, kejadian ngeri itu berlaku di hadapan rumah mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning iaitu tempat Ngaisah mengajar.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan dari Air Hitam menghala ke Muar cuba memintas kereta Proton Persona dipandu Ngaisah yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk pulang ke rumahnya.

Malangnya, lori terbabit hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan barangan konkrit bahan binaan itu bertaburan dan menghempap kereta dipandu guru Matematik itu.

Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dengan tujuh anggota.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terhempap dalam timbunan barangan konkrit bahan binaan dengan menggunakan bantuan dua jentera forklift.

“Ketika dikeluarkan, mangsa sudah meninggal dunia dan pemandu lori berkenaan dipercayai melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pertemuan terakhir Rabu lalu KAKAK kedua Ngaisah, Noriah Redzuan, 70, begitu terkejut menerima berita yang menimpa adiknya melalui penduduk kampung.

“Kali terakhir saya menemui Ngaisah pada Rabu minggu lalu di sebuah kedai runcit di Parit Sulung, Batu Pahat.

“Dalam pertemuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan sentiasa dengan sikap ramahnya,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Shidah, 47, berkata, sebelum kejadian arwah sempat meninggalkan pesanan supaya membantunya memasang langsir baru sekolah pada keesokan hari (hari ini).

“Tahun ini arwah menaja langsir baru untuk sembilan kelas seperti yang dilakukannya setiap tahun.

“Hari ini (semalam) kami tidak sempat berbual panjang kerana sibuk bergotong royong membersihkan sekolah berikutan akan menerima kunjungan lawatan Nazir Jumaat ini,” katanya.

Shidah turut sedih mengenangkan semula pesanan terakhir arwah dan menganggap pemergian sebagai satu kehilangan besar buat dirinya kerana mereka sudah bersahabat baik lebih 20 tahun lalu.

Manakala seorang anak murid mangsa, Nornasha Kamarudin, 12, berkata, dia turut sedih dengan pemergian guru matematiknya itu.

“Ketika mengajar dalam kelas hari ini, Cikgu Ngaisah banyak tersenyum dan mendekati rakan-rakan yang tidak faham dengan apa yang diajarnya,” katanya.

Sinar Harian
24 Jan 2013


Pemandu Lori Hadapi Tuduhan Sebabkan Kematian Tiga Beranak

MUAR: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian tiga beranak dalam kemalangan yang berlaku di Batu 14 Air Hitam, dekat sini, pada 23 Jan lalu.

Lee Yong Long, 27, dari Taman Budaya Jingga, Batu Pahat, dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2 petang hingga menyebabkan kematian Ngaisah Redzuan, 46, dan dua anaknya, Muhammad Nurullah Azzim Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea, 10.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun hingga 20 tahun atau denda RM5,000 hingga RM20,000.

Tertuduh dengan tangan kanannya berbalut, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan Majistret Roslinda Razali.

Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM8,700 bersama seorang penjamin manakala lesen memandu Lee digantung.

Roslinda menetapkan 6 Mac sebagai tarikh perbicaraan. Pendakwaaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya R.Bala sementara peguam bela ialah Mohd Redza Hamdan.-BERNAMA

30 Jan 2013








Tuesday, January 22, 2013

PPK tidak setuju kaedah undian


Antara yang hadir pada Mesyuarat Agung Khas PPK Muar Selatan, semalam.

MUAR – Kira-kira 200 perwakilan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Muar Selatan yang mewakili 6,700 ahlinya sebulat suara menyatakan ketidaksetujuan menggunakan kaedah pengundian dalam menyelesaikan kemelut pertindihan kawasan seliaan PPK berkenaan dengan PPK Bakri.

Pendirian itu dinyatakan selepas cadangan tersebut dikemukakan oleh Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Shammodin Abd Halim, yang turut hadir dalam Mesyuarat Agung Khas PPK Muar Selatan di Dewan Serbaguna Kompleks Penghulu Sungai Balang dekat sini, semalam.

Ahli Jemaah Pengarah PPK Muar Selatan, Omar Idris berkata, ahli-ahlinya tidak bersetuju kerana kawasan yang dituntut oleh PPK Bakri meliputi sebahagian kawasan seliaan PPK Muar Selatan di Mukim Air Hitam dalam kawasan Dun Bukit Naning.

Menurutnya, PPK Muar Selatan mahu kawasan seliaannya bermula dari Batu 14 hingga Batu 20.5, Air Hitam, kekal menjadi milik mereka.

“Kita tetap dengan pendirian tidak akan menyerahkan kawasan seliaan ini  yang mempunyai dua pusat timbang iaitu di Batu 14 Air Hitam dan Kampung Parit Tengah, Air Hitam kepada pihak berkenaan.

“Kawasan seliaan Mukim Air Hitam adalah penyumbang utama ekonomi kepada PPK Muar Selatan,” katanya.

Katanya, jika kemelut itu tidak diselesaikan segera, kawasan berkenaan akan mempunyai dua pengurusan berbeza.

“Untuk jangka masa panjang, ia dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi PPK Muar Selatan,” katanya.

Terdahulu, pada 30 Disember lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 70 ahli PPK Muar Selatan mengadakan demonstrasi aman di Kampung Parit Tengah Air Hitam, menuntut masalah tersebut diselesaikan segera.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan ulasan lanjut daripada Pengerusi PPK Bakri, Datuk Saipolbahri Suib berhubung isu berkenaan gagal.

Sinar Harian
18 Jan 2013


Babi hutan ganggu penduduk


Abd Hamid menunjukkan antara kawasan yang sering menjadi tumpuan babi hutan setiap kali berkeliaran di kawasan rumahnya.

MUAR - Ketenteraman kira-kira 500 penduduk di Kampung Bukit Treh Jalan Salleh di sini, terjejas berikutan gangguan babi hutan sejak dua bulan lalu.

Dakwa penduduk, keadaan itu semakin serius sejak kebelakangan ini apabila haiwan tersebut semakin berani berkeliaran di kawasan kediaman mereka.

Salah seorang penduduk, Abd Hamid Ibrahim, 29, berkata, haiwan berkenaan dipercayai bersembunyi dalam belukar yang terdapat berhampiran kampung itu.

Menurutnya, haiwan berkenaan dapat dilihat berkeliaran di sekitar kawasan kampung bermula jam 8 malam hingga waktu pagi.

“Haiwan ini juga bergerak secara berkumpulan dan saya pernah terserempak dengan kumpulan berkenaan yang dianggarkan 10 ekor.

“Kumpulan babi hutan itu nyaris memasuki rumah selepas pagar rumah saya disondol salah seekor haiwan terbabit sehingga rosak, namun berjaya menghalau haiwan itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Manakala, bagi Johari Ismail, 74, berkata, tanaman ubi yang diusahakan bersebelahan tanah perkuburan kampung berkenaan turut menjadi sasaran haiwan terbabit.

“Banyak tanaman ubi rosak kerana disondol dan dimakan oleh haiwan ini pada waktu malam.

“Saya ada pasang perangkap sebagai usaha menghalaunya, tetapi terlebih dahulu telah dirosakkan oleh haiwan ini,” katanya.

Katanya, selain ubi, dia turut menanam keladi dan pisang, namun semuanya turut dirosakkan dan tidak sempat menikmati hasil jualan tanaman itu.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Baki, 59, berkata, dia bimbang keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang keluar rumah pada waktu malam untuk pergi mengaji.

“Ramai kanak-kanak mengadu, mereka sering terserempak dengan babi hutan berkeliaran dalam kawasan kampung dan bertindak melarikan diri kerana ketakutan.

“Baru-baru ini, seorang penduduk yang memandu kereta terlanggar seekor babi hutan yang melintas jalan kampung secara mengejut. Mujur kejadian itu tidak membabitkan penunggang motosikal, jika tidak pasti perkara tidak diingini akan berlaku,” katanya.

Justeru itu, dia mengharapkan ada pihak yang dapat tampil untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Sinar Harian
20 Jan 2013

Monday, January 21, 2013

Kanak-kanak lima tahun maut dihempap tayar treler bapa


Keadaan treler yang terbalik selepas terbabas dan meragut nyawa kanak-kanak berusia lima tahun. Gambar kecil: Mayat Mohd Afiq Amrin.

Gambar myMetro

MUAR – Kejadian menyayat hati terpaksa dilalui sebuah keluarga yang kehilangan anak berusia lima tahun yang maut akibat dihempap tayar treler yang dipandu bapanya dalam kemalangan di Batu 10 Jalan Pagoh-Muar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, Mohd Afiq Amrin Mohd Yazid tercampak keluar sebelum kepalanya dihempap tayar treler yang dipercayai hilang kawalan semasa membelok selekoh sebelum terbalik dan memasuki parit.

Bagaimanapun, keluarga kanak-kanak terbabit, Mohd Yazid Banain (bapa), 44; Suriyati Abd Rahman (ibu), 30an, Nur Damia Batrisya (kakak), 6, terselamat, tetapi mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail berkata, ketika tiba di tempat kejadian bersama satu jentera dan tujuh anggota, tiga mangsa masih berada di dalam treler kecuali Mohd Afiq Amrin.

Pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan Mohd Yazid yang tersepit di tempat duduk pemandu, manakala  isteri dan anak perempuannya di bahagian tempat duduk belakang.

“Mohd Yazid patah kaki. Isteri dan anak perempuannya yang pada mulanya tidak sedarkan diri tersedar sebaik sahaja berjaya dikeluarkan.

“Kami masih menjalankan kerja untuk mengalihkan treler ini kerana dikhuatiri ada kenderaan lain di bawahnya yang terbenam dalam parit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, treler yang sarat membawa muatan papan lapis itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke daerah ini.

Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sinar Harian
21 Jan 2013

Thursday, January 17, 2013

RM7.6j bantuan persekolahan


Razali Ibrahim menyerahkan wang RM100 kepada salah seorang murid pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2013 di Dewan SMKA Maahad Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 16 Jan. - Seramai 76,154 pelajar daripada 211 sekolah rendah dan menengah dalam daerah Muar, Ledang, Pagoh serta Bakri menerima bantuan awal persekolahan RM100 bernilai kira-kira RM7.6 juta mulai semalam.

Daripada jumlah itu, daerah ini menerima kira-kira RM1.9 juta melibatkan 8,871 murid sekolah rendah dan 10,164 pelajar sekolah menengah.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, bantuan kali kedua di bawah Bajet 2013 itu turut melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, sekolah agama rakyat dan sekolah agama kerajaan negeri.

"Walaupun pemberian ini sudah dua kali diagihkan, masih ada ibu bapa yang tidak mengetahui tentang bantuan daripada kerajaan ini. Kita kena bersyukur dengan pemberian ini yang bertujuan meringankan beban ibu bapa apatah lagi yang mempunyai ramai anak.

"Ada pihak tertentu mempolitikkan pemberian ini tetapi sebenarnya kerajaan prihatin dengan beban dan kesusahan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan tersebut untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Maahad (SMKM) Muar, di sini semalam.

Bagi keseluruhan negeri ini, seramai 640,704 pelajar daripada 1,168 sekolah menengah dan rendah akan menerima bantuan kira-kira RM64 juta yang diagih-agihkan secara berperingkat tanpa mengira pendapatan keluarga sehingga 31 Januari ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengingatkan ibu bapa bahawa pemberian tersebut tidak kekal dan bantuan itu disalurkan kerana kerajaan ketika ini masih mampu berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, apabila berlaku bencana alam atau malapetaka, tidak mustahil dana Bantuan Persekolahan RM100 itu akan disalur untuk mangsa-mangsa terbabit kerana menjadi satu keutamaan bagi menghulurkan bantuan kepada pihak yang lebih memerlukan.

Utusan 17 Jan 2013

Wednesday, January 16, 2013

Kereta mewah milik datuk ditemui semula



MUAR 16 Jan. - Kereta mewah jenis Mini Cooper S bernilai RM260,000 milik seorang ahli perniagaan bergelar datuk yang dilarikan Geng Ayie BMW awal bulan ini ditemui semula di tepi jalan di Tanjung Agas, Ledang dekat sini pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, kenderaan mewah itu ditemui kira-kira pukul 4 petang selepas polis memberkas tiga ahli kumpulan tersebut, kurang 18 jam selepas menyamun ahli perniagaan itu. - UTUSAN

16 Jan 2013

Monday, January 14, 2013

Remaja tunggu keputusan STPM maut kemalangan




Mangsa yang cedera parah maut di tempat kejadian.

MUAR - Impian seorang remaja untuk melanjutkan pengajian ke menara gading tidak kesampaian apabila maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Bakri, Batu 3/4, berhampiran sebuah stesen minyak di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Syaharuddin  Md Noh, 20, sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta dan sebuah motosikal lain.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fuad, 30an, berkata, adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di sebuah pusat boling, di sini.

“Arwah baru bekerja di pusat boling itu sementara menunggu keputusan STPM keluar.

“Dia (Syaharuddin) seorang adik yang baik, pelajar yang bijak dan taat kepada kedua ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, sebelum kejadian, Allahyarham adiknya ada menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran hingga ke universiti, namun semuanya tinggal kenangan.

Sementara itu, pekerja stesen minyak yang  mahu dikenali sebagai Syam, 25, berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam premis berkenaan.

Dia yang merupakan saksi kejadian berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat seterusnya keluar melihat dan mendapati mangsa sudah terbaring di atas jalan, manakala sebuah kereta jenis Myvi putih berhenti dan kemudian berlalu pergi.

“Ketika itu ada beberapa pengguna jalan berkenaan turut berhenti dan mereka kemudiannya menghubungi ambulan serta polis,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal. Bagaimanapun, setakat ini (jam 10 pagi semalam) hanya waris mangsa yang membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah ( HPSF) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
14 Jan 2013

Friday, January 11, 2013

20 rumah terjejas akibat ribut


Antara rumah penduduk yang dihempap pokok.

Dahan pokok menimpa bumbung garaj kereta milik salah seorang penduduk.

MUAR - Kira-kira 10 rumah di Taman Bukit Mor Baru dan Jalan Mahmod, Kampung Parit Jawa, di sini, mengalami kerosakan akibat ribut dalam kejadian petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, hujan lebat diikuti ribut dan petir itu mengakibatkan kesemua rumah terbabit mengalami kerosakan dan dihempap pokok selain 500 penduduk di kawasan terbabit berdepan detik cemas.

Saksi kejadian, Ahmad Gongang, 54, berkata, dia terlihat seperti turunnya salji dari arah rumah jiran sebelum berlakunya kejadian ribut itu.

Bagaimanapun, kira-kira lima minit kemudian angin bertiup lebih kencang sehingga menyebabkan bumbung rumah jirannya tercabut dan terbang ke kediaman bersebelahan.

“Ketika itu, saya sedang berniaga di kedai makan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa.

Keadaan menjadi kelam kabut apabila angin kencang menghala ke kedai makan saya menyebabkan kuih-muih untuk jualan bertaburan di atas tanah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Ahmad berkata, dia terpaksa menutup premis perniagaannya lebih awal berbanding waktu biasa iaitu sekitar jam 6.30 petang kerana bimbang terhadap keselamatan diri dan isteri.

“Peristiwa ini sangat menakutkan saya kerana saya melihat sendiri dengan jelas apa yang berlaku. Kejadian sama pernah berlaku di kampung ini sekitar 15 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul Anwar Mohd Khudzari, 29, berkata, dia menyedari beranda rumahnya dihempap dahan pokok selepas diberitahu oleh bapa saudara yang baru pulang dari kerja.

“Saya tidak sedar kejadian ini berlaku kerana hujan terlalu lebat berserta dengan angin kuat dan petir. Ketika itu saya berada dalam bilik menunaikan solat fardu Zohor dan apabila keluar bilik mendapati bahagian ruang tamu rumah basah.

“Tetapi mujurlah enam kereta milik ayah yang berada di bawah beranda yang dihempap pokok tidak mengalami kerosakan,” katanya.

Penghulu kawasan, Mohd NasirKiman berkata, kesemua nama mangsa ribut terbabit akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Johor (Maij) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk proses permohonan bantuan bencana.

Kejadian ribut juga berlaku di Simpang Renggam, Kluang yang melanda kurang dari tempoh 10 minit petang kelmarin telah mengakibatkan 10 kediaman mengalami kerosakan teruk.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Balai Polis dan Pejabat Giatmara kawasan Simpang Renggam antara yang turut sama mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Sha’ari, Kampung Bukit Batu, Kampung Setia Jaya, kawasan Pekan Simpang Renggam, Taman Berjaya dan Taman Puteri Emas.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 45, berkata, kejadian itu adalah kali pertama melanda rumahnya dan mengakibatkan bahagian bumbung rumah mengalami kerosakan teruk.

"Sewaktu kejadian berlaku, saya sedang membuat roti untuk dijual dan pada masa itu angin sangat kuat. Tidak sampai 10 minit, saya dengar bunyi zink rumah diterbangkan angin seterusnya mengakibatkan rumah dibasahi dengan air hujan.

"Kejadian tersebut berlaku sekelip mata dan menyebabkan saya rasa takut jika berlaku sesuatu yang lebih teruk. Bagaimanapun, saya bersyukur kejadian ribut ini berlaku sekejap sahaja,” katanya, semalam.

Sementara itu, kakitangan Giatmara cawangan Simpang Renggam, Ramlah Ijan berkata, kejadian itu telah menyebabkan tempat letak kereta berbumbung pejabat berkenaan runtuh.

Menurutnya, sewaktu kejadian berlaku, pelajar sedang menjalani pembelajaran di dalam kelas.

“Sehingga kini kerugian dianggarkan hampir RM4,000 dan ia adalah kejadian pertama bagi warga Giatmara,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng berkata, dia sudah memaklumkan kepada JKM berhubung kejadian ribut itu dan pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut.

“Pihak JKM akan datang ke rumah-rumah yang dilanda ribut untuk melakukan penilaian dan kerugian yang dialami oleh mereka. Di peringkat parlimen juga, bantuan segera akan dihulurkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sinar Harian 11 Jan 2013

Monday, January 7, 2013

IPD Muar cemerlang KPI


MUAR 6 Jan. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melepasi semua sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi penurunan indeks jenayah yang ditetapkan pada tahun lalu dengan mencatatkan pencapaian amat memberangsangkan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, indeks jenayah di sini menurun tujuh peratus berbanding sasaran yang ditetapkan KPI di peringkat Pusat iaitu lima peratus.

"Kadar pertuduhan dan pendakwaan kes juga melepasi sasaran iaitu 46.58 peratus berbanding sasaran 25 peratus, kadar penyelesaian kes pula 63 peratus (sasaran 45 peratus) manakala kadar jenayah jalanan 80.3 peratus (sasaran 45 peratus).

"Ini adalah kejayaan bersama antara polis dan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah. Kita ucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat dalam polis," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan basikal kepada polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Parlimen Muar di pekarangan IPD Muar di sini hari ini.

Sebanyak 50 buah basikal import bernilai kira-kira RM225,000 disampaikan oleh Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada 35 anggota polis dan selebihnya anggota Rela untuk kegunaan meronda.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai; Pegawai Khas Menteri Besar Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Lee Ching Yong; Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar dan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam.

Mohamad Nasir berkata, kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama pihaknya dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, 58 pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kepolisan Komuniti Muar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain menyatakan harapan agar hubungan tersebut diteruskan dengan lebih akrab.

Menyentuh mengenai sumbangan basikal, beliau berkata, ia akan digunakan untuk meronda di seluruh kawasan bandar, taman perumahan dan kampung berhampiran dalam usaha mencegah kegiatan jenayah.

Sementara itu, Razali berkata, sumbangan basikal itu adalah sebagai penghargaan kepada anggota polis khususnya mereka yang melakukan rondaan di bahagian bandar sesuai dengan statusnya yang kini dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja.

"Selain itu kita juga bercadang untuk meletakkan 100 buah basikal di Pejabat Daerah Muar untuk digunakan belia menjalankan sebarang aktiviti," katanya yang turut memuji kejayaan IPD Muar mencapai keseluruhan KPI yang ditetapkan.


Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Utusan
7 Jan 2013

Kempunan makan tengah hari


Ahli keluarga mangsa datang ke tempat kejadian sejurus mengetahui insiden yang menimpa mangsa.

MUAR - Hasrat seorang juru wayar pulang menikmati makan tengah hari bersama keluarga di rumah, tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kim Kee, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 petang itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa, Nazli Alfaisan Othman, 22, dengan sebuah kereta jenis Chevrolet.

Mangsa dari Jalan Kim Kee meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kedua-dua kenderaan itu dipercayai dari arah sama iaitu Sungai Abong menghala ke Jalan Kim Kee.

Pemandu kereta terbabit berusia 55 tahun mendakwa, cuba mengelak anjing yang melintas jalan menyebabkan kenderaan yang dipandunya memasuki laluan kanan jalan sebelum dirempuh motosikal mangsa yang berada di belakang kereta.

Difahamkan, pemandu kereta yang pada mulanya melarikan diri telah membuat laporan di balai polis berhampiran beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
7 Jan 2013

Saturday, January 5, 2013

Mati bukan sebab wabak


MUAR - Kematian salah seorang bayi kembar perempuan yang dilaporkan 26 Disember lalu selepas empat hari dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), disahkan akibat jangkitan kuman clabsiella negatif.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai mengesahkan kematian bayi tersebut bukan berpunca daripada penularan wabak dalam wad pediatrik HSA, sebagaimana yang didakwa ibu bapa bayi berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bayi tersebut dilahirkan tidak cukup bulan pada usia tujuh bulan dengan berat 1.6 kilogram.

“Keadaan pra-matang bayi ini menyebabkan dia mudah dijangkiti kuman clabsiella negatif yang sememangnya terdapat di persekitaran ini.

“Bayi ini ditempatkan dalam wad NeoNatal Intensive Care Unit (NICU) untuk rawatan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Robia berkata, tiada wabak berlaku sebagaimana yang didakwa kerana kebetulan semasa kelahiran bayi itu, satu daripada tiga wad pediatrik tidak dapat digunakan disebabkan dalam proses kerja-kerja pembersihan.

Menurutnya, masalah tersebut akan diisytiharkan sebagai wabak, sekiranya berlaku lebih daripada empat kes yang membabitkan jenis kuman sama dan membawa kematian.

Sinar Harian
5 Jan 2013

Penarik kereta miliki kereta curi ditahan


MUAR 4 Jan. - Seorang penarik kereta yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau ditahan kerana memiliki sebuah kereta curi dalam serbuan polis di sebuah rumah di Jalan Salleh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kereta Perodua Kancil itu dilaporkan hilang di Taman Soga, Batu Pahat, 25 Disember lalu.

Menurutnya, suspek berusia 25 tahun dan berasal dari Batu Pahat itu dipercayai baru beberapa bulan menyewa rumah berkenaan.

Kata beliau, tiga rekod jenayah lampau suspek adalah bersangkutan dengan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 dan Seksyen 29 (1) kanun yang sama.

"Kita tidak menolak kemungkinan kereta itu untuk dijual berdasarkan pekerjaan suspek sebagai penarik kereta. Suspek ditahan reman sehingga 6 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Nasir memberitahu, statistik kecurian motosikal daerah ini meningkat sebanyak 43 peratus tahun lalu berbanding 2011.

Katanya, kecurian kerap berlaku dalam kawasan kediaman sama ada di kawasan perumahan juga kampung pada waktu puncak antara pukul 12 malam hingga enam pagi.

"Lokasi kedua tertinggi berlaku kecurian motosikal adalah di tempat awam sama ada di dalam bandar ataupun pekan. Saya menasihati orang ramai supaya memasang kunci pendua pada motosikal masing-masing semasa di rumah ataupun meninggalkan motosikal di tempat awam," katanya.

Kata Mohamad Nasir, sikap penunggang motosikal yang lalai dengan membiarkan kunci pada motosikal menjadi penyumbang kepada peningkatan kejadian kecurian motosikal.

Utusan
5 Jan 2013

Friday, January 4, 2013

Jiran tua kemaruk seks


MUAR - Dua beradik berusia 14 dan 11 tahun terpaksa melalui  pengalaman ngeri apabila menjadi mangsa rogol dan cabul seorang warga emas dalam kejadian di sebuah kampung di Parit Jawa, di sini.

Perbuatan terkutuk jiran tua  durjana itu hanya terbongkar selepas mangsa yang berusia 14 tahun mengadu  kepada ibunya, sakit perut dan  tidak sedap badan yang dialaminya,  petang kelmarin.

Menurut sumber, kejadian yang berlaku antara November hingga Disember tahun lalu itu, bermula  ketika cuti persekolahan lalu yang  terjadi di belakang rumah mangsa.

“Ketika itu, mangsa yang  berusia 14 tahun mahu memetik buah  jambu sebelum didatangi warga emas  berkenaan yang juga jirannya dari  belakang lalu memeluknya.

“Lelaki berusia 60 tahun itu  bertindak membaringkan mangsa di atas tanah kemudian  menyuruh  memegang kemaluannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata sumber lagi, pada mulanya mangsa enggan berbuat sedemikian dan meronta untuk melepaskan diri tetapi tidak berjaya.

Jelasnya, warga emas itu  sebaliknya bertindak agresif dengan  menekup mulut dan merogol mangsa tanpa belas kasihan.

Difahamkan, kejadian itu  berlaku berulang kali iaitu beberapa hari  selepas  kejadian pertama apabila  lelaki berkenaan memanggil mangsa datang ke rumah dengan alasan  mahu memberi ayam goreng.

“Mangsa tidak mengesyaki  muslihat warga emas itu, menyebabkan dia sekali lagi dirogol sebaik sahaja memasuki rumah tersebut.

“Mangsa yang menangis  ketakutan kemudiannya dibenarkan pulang oleh warga emas berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, ibu mangsa mengesyaki perlakuan pelik anaknya lalu mendesak supaya menceritakan hal sebenar, namun terkejut apabila mengetahui anaknya yang berusia 11 tahun turut pernah menjadi mangsa cabul jirannya itu.

Katanya, lelaki tersebut  mengumpan kanak-kanak berusia 11 tahun itu dengan wang dan makanan sebelum merabanya.

Berikutan itu, ibu mangsa  membawa kedua-dua anaknya  membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika mengesahkan  menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk pemeriksaan lanjut dan polis akan menunggu laporan hasil pemeriksaan berkenaan.

“Warga emas yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini ditahan reman sehingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian 4 Jan 2012

Thursday, January 3, 2013

12 bayi lahir sempena tahun baharu di HPSF


SELAHUDDEEN Abd. Aziz (belakang, tengah) bersama ibu-ibu dan lima daripada 12 bayi yang lahir pada hari pertama tahun baharu di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 2 Jan. - Sebanyak 12 bayi tahun baharu dilahirkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, sejak semalam.

Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, bayi pertama yang lahir pukul 1.11 pagi seberat 3.4 kilogram (kg) merupakan bayi lelaki dan anak sulung.

Menurutnya, daripada 12 bayi dilahirkan lapan bayi ialah perempuan manakala selebihnya lelaki.

"Sembilan bayi berketurunan Melayu, dua Cina dan seorang warga Indonesia. Semua ibu melahirkan bayi secara normal," katanya semasa ditemui semasa melawat ibu-ibu bersalin di Wad 14, HPSF, di sini.

Selahuddeen berkata, jumlah kelahiran tahun ini tidak jauh bezanya dengan kelahiran tahun baharu 2012 iaitu seramai 14 orang dan purata kelahiran di HPSF dalam sehari antara 15 hingga 18 bayi.

Utusan
3 Jan 2013

Bantah pengambilalihan enam pusat timbang


MUAR 31 Dis. - Kira-kira 70 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Muar Selatan mengadakan demonstrasi secara aman menuntut masalah pertindihan kawasan antara PPK Muar Selatan dan PPK Bakri diselesaikan segera.

Demonstrasi yang diadakan di Pusat Timbang Kampung Tengah Batu 18, Air Hitam dekat sini, semalam juga memprotes hasrat PPK Bakri mengambil alih enam unit pusat timbang di bawah pengurusan PPK Muar Selatan yang disifatkan tidak wajar dan mempunyai agenda tertentu.

Enam unit itu yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Naning adalah di Parit Tengah B dan C (unit 15), Batu 18 Air Hitam (unit 16), Batu 16 Air Hitam (unit 17), Parit No 4 (unit 21), Parit Baru (unit 24) dan Parit Tengah A (unit 27).

Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Muar Selatan, Omar Idris berkata, enam unit itu merupakan pusat utama aktiviti PPK Muar Selatan kerana menyumbang sebanyak 80 peratus keuntungan kepada pertubuhan berkenaan.

"PPK Muar Selatan yang ditubuhkan 40 tahun lalu merupakan sebuah PPK berpotensi tinggi dan memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM700,000 tahun ini.

"Cadangan pengambilalihan ini dibantah 6,700 ahli PPK Muar Selatan kerana kami mahu enam unit tersebut diuruskan sepenuhnya oleh kami dan bukan di bawah PPK Bakri," katanya ketika ditemui selepas menyertai demonstrasi aman itu.

Omar berkata, cubaan mengambil alih enam unit tersebut telah dilakukan sejak enam tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, PPK Muar Selatan tetap mempertahan serta tidak setuju dengan cadangan berkenaan.

"Usaha ini sia-sia apabila isu pertindihan kawasan dan tuntutan mengambil alih hak milik PPK Muar Selatan masih ditimbulkan," katanya.

Seorang lagi AJP PPK Muar Selatan, Junid Pardi berkata, ahli-ahli tidak mahu PPK Muar Selatan mempunyai dua pengurusan jika pengambilalihan itu berlaku kerana keadaan akan menjadi lebih rumit.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Johor, Datuk Saipolbahri Suib yang juga Pengerusi PPK Bakri ketika dihubungi enggan memberi sebarang ulasan berhubung perkara berkenaan.

Utusan
1 Jan 2013

Bapa rayu kesan Aizuddin


Ahmad Ridwan menunjukkan gambar abangnya, Aizuddin yang menghilangkan diri sejak 7 Oktober lalu.

MUAR - Seorang bapa merayu bantuan orang ramai mengesan anak lelakinya berusia 25 tahun, yang gagal pulang selepas keluar rumah di Taman Temenggong Ahmad, di sini, sejak lebih dua bulan lalu.

Ishak Yunos, 56, berkata, anaknya, Aizuddin, keluar seorang diri menaiki motosikal dari rumahnya, jam 8.45 pagi, 7 Oktober lalu, dengan membawa kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan lesen memandu.

Menurutnya, Aizuddin dipercayai mengalami gangguan yang dialami sejak awal tahun lalu.

“Saya tidak tahu di mana dia berada sekarang tetapi melalui semakan akaun banknya didapati dia ada mengeluarkan wang melalui mesin ATM di Endau pada awal November  dan kemudian di Bahau, Negeri Sembilan, 19 November lalu.

“Selepas itu, Aizuddin tidak lagi mengeluarkan wang dan keluarga bimbang dengan keselamatannya.

“Kami ada beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bapa kepada enam anak itu berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan Aizuddin termasuk mengadakan solat hajat, bacaan Yassin dan tahlil khusus, tetapi menemui jalan buntu.

“Aizuddin adalah anak ketiga dan mempunyai ketinggian lima kaki tujuh inci, kurus dan berkulit sawo matang,” katanya.

Ishak berkata, anaknya yang berkelulusan dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mula berkelakuan aneh apabila mendalami ilmu agama semasa menetap di Pasir Gudang.

Dia memberitahu, anaknya belajar agama di sebuah taman di Johor Bahru.

“Dari Januari hingga Mac 2012, keadaannya makin teruk hingga memaksanya pulang semula ke Muar Mac lalu.

“Kami membawanya berubat di merata tempat termasuk di hospital dan mendapat rawatan secara Islam dan tradisional tetapi masih belum pulih," katanya.

Katanya, Aizuddin sebelum ini pernah  hilang pada 22 September lalu tetapi ditemui semula pada 27 September di sebuah belukar berdekatan surau dalam keadaan badan berlumpur.

"Sesiapa yang menemui atau mengenalinya diminta hubungi di talian 012-6128720.

Sinar Harian
3 Jan 2013