Tuesday, April 15, 2014

60 pusat hiburan keluarga diserbu

Azman bersama mesin permainan yang dirampas polis dalam serbuan yang dilakukan untuk siasatan lanjut.

Mesin yang dirampas dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut sementara menunggu laporan daripada pakar perjudian.

MUAR – Polis telah melakukan 60 serbuan di pusat hiburan keluarga sekitar daerah ini selepas disyaki menjalankan aktiviti berunsurkan perjudian setakat April ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, serbuan dalam Operasi Dadu itu adalah hasil maklumat dan pemantauan ke atas tiga pusat hiburan di daerah ini.

Menurutnya, terbaru dua pusat hiburan diserbu secara berasingan membabitkan rampasan 43 mesin permainan.

Pihaknya juga menahan lima penjaga pusat berkenaan serta 53 pengunjung, kelmarin.

“Dalam serbuan pertama pada jam 4.45 petang itu, polis menahan tiga penjaga pusat hiburan bersama 32 pengunjung termasuk seorang warga Indonesia.

“Tiga lelaki terbabit berusia 20,41 dan 55 tahun serta semua pengunjung ditahan reman sehingga 17 April ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang rekod jenayah, manakala warga asing berkenaan tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah.

“Mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Azman berkata, serbuan kedua pada hari yang sama dilakukan kira-kira jam 6.30 petang dengan menahan dua penjaga pusat hiburan berkenaan serta 21 pengunjung.

“Kita merampas sebanyak 18 mesin permainan dan dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut serta laporan daripada pakar perjudian dari IPD Batu Pahat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Tegasnya, kesemua rumah judi di daerah ini mempunyai lesen dan pengusahanya mematuhi waktu operasi yang ditetapkan bermula jam 12 tengah hari hingga 11 malam.

“Namun kita menunggu laporan daripada pakar untuk mengetahui sama ada  dua pusat hiburan berkenaan menjalankan kegiatan perjudian ataupun tidak.

“Bagaimanapun pemantauan kerap akan diteruskan untuk memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti yang melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Sinar Harian
15 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment