Tuesday, April 15, 2014

Terharu dapat jumpa menteri

Rohani berbual mesra dengan Eton pada Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care.

MUAR - Seorang warga emas menitiskan air mata terharu apabila menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di rumahnya di Kampung Tanggul Aur, Pagoh dekat sini.

Eton Alwi, 78, adalah salah seorang daripada dua warga emas terpilih untuk dilawati sempena pelancaran Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care peringkat kebangsaan menerusi program Khidmat Bantuan Di Rumah.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Belia dan Sukan Pagoh, Sabtu lalu.

Dalam kunjungan tersebut, Rohani meluangkan masa selama 20 minit berbual dengan warga emas berkenaan yang terlantar keuzuran dan tidak berupaya berdikari selain menyampaikan wang tunai dan hamper.

Walaupun usia Eton hampir mencecah 80 tahun tetapi daya ingatannya masih kuat apabila mampu menceritakan kisah hidup dan pengalamannya ketika menetap di Sabah serta Sarawak kepada Rohani.

Penjaga Eton yang juga anaknya, Hasnah Daud, 48, berkata, ibunya terlantar kira-kira  tujuh tahun lalu selepas terjatuh ketika mahu mengelap lantai licin.

Jelasnya, sejak itu, ibunya tidak boleh berjalan dengan baik dan kelamaan langsung tidak dapat berjalan.

Suri rumah itu berkata, dia tidak mampu untuk menyediakan keperluan lengkap untuk ibunya kerana bergantung harap dengan suami seorang pesara tentera ditambah mempunyai anak yang ramai iaitu enam orang.

“Sebelum ini saya sering bimbang jika ibu terkena ruam atau kudis pada belakang badan kerana baring terlalu lama menggunakan tilam biasa.

“Saya kerap mengiringkan, mengelap dan menyapu bedak belakang badan untuk mengelakkan ibu daripada berpeluh yang membolehkan masalah itu (kudis dan ruam) terjadi,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur apabila ibunya menerima bantuan RM300 dan katil khas serta tilam angin yang dapat mengelakkan masalah tersebut daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Rohani dalam kenyataannya berkata, lebih 170,000 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terlantar memerlukan bantuan sukarelawan dari segi penjagaan kehidupan seharian mereka.

“Orang ramai diminta mengambil peluang berbakti kepada masyarakat dan melakukan tugas berbentuk kebajikan melalui program ini.

“Antara aktiviti program ini ialah mengunjungi rumah penerima bantuan JKM, pemeriksaan kesihatan percuma dan perkhidmatan kaunter bergerak,” katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai 1,716 sukarelawan dilahirkan sejak program tersebut diperkenalkan pada 2009.

Sinar Harian
8 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment