Friday, April 25, 2014

Penemuan buaya buat penduduk sekitar Sungai Balang bimbang

KALIT (kanan) dan rakannya, Norafandi Wagiman menunjukkan lokasi kelibat buaya dilihat di Sungai Sarang Buaya, Parit Bugis, Sungai Balang dekat Muar, Johor semalam.

MUAR - Penduduk di 12 buah kampung sekitar Parit Bugis, Sungai Balang, dekat sini, yang rata-rata mengetahui mengenai penemuan seekor buaya sepanjang hampir tiga meter di Sungai Sarang Buaya dekat situ bulan lepas, kini bimbang tentang keselamatan terutama anak-anak mereka.

Mereka mahu pihak berkuasa mengambil langkah tertentu termasuk memasang papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai terhadap kehadiran reptilia itu.

Khalid Morsid, 55, yang berjaya menangkap seekor buaya seberat 80 kilogram pada 16 Mac lalu berkata terdapat kira-kira 10 ekor lagi buaya dipercayai berada di sepanjang sungai itu.

"Ramai kaki pancing dari luar yang gemar memancing di sungai ini kerana terdapat banyak udang galah, udang bara dan ikan toman, tapi tidak sedar akan bahaya yang menunggu mereka.

"Begitu juga dengan kanak-kanak, mereka masih terus menjadikan sungai ini tempat untuk mandi-manda walaupun selepas penemuan buaya di sungai ini," kata pemancing itu kepada pemberita hari ini yang mengikuti lawatan anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Balang, Zaiton Ismail ke kawasan itu.

Khalid berkata, selepas menyerahkan buaya itu yang tersangkut pada mata pancing ikan tomannya kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Muar, beliau mengesan seekor lagi buaya di tebing sungai itu pada sebelah malamnya.

Sementara itu Zaiton berkata, pihaknya sudah memohon kepada Majlis Perbandaran Muar supaya segera memasang papan tanda amaran di kawasan itu.

Beliau tidak mahu keselamatan penduduk yang dianggarkan lebih 3,000 orang di kawasan itu menjadi taruhan terutama dalam usaha mereka untuk mengadakan beberapa aktiviti di sungai itu sebagai usaha menarik kedatangan pelancong. -Bernama

24 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment