Wednesday, April 2, 2014

Terpaksa redah kilat pulang ke rumah

Anggota Rela membaiki bumbung rumah Ismail yang tercabut dipukul ribut.

Azizah Aziz, melihat sekitar kedai mencuci kenderaan milik anaknya yang musnah dipukul ribut.

MUAR - Seorang pengusaha kedai mencuci kenderaan mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas kedainya ranap ditimpa bumbung balai raya yang melayang akibat ribut yang melanda kampung Batu 23 Lenga dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.30 petang itu turut menjejaskan lima rumah penduduk di Jalan Awang, di sini, yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung terletak kira-kira 300 meter dari kedai tersebut.

Mohd Nazarudin Musa, 23, berkata, kedainya baru beroperasi seminggu setelah siap dibina sebulan lalu, namun tidak menyangka dia diuji dengan kejadian tersebut.

“Pengalaman ini menakutkan dan bersyukur tiada perkara yang tidak diingini berlaku ke atas saya kerana semasa kejadian saya ada dalam kedai ini.

“Saya memberanikan diri berlari meredah hujan lebat berserta kilat pulang ke rumah yang terletak 30 meter dari kedai sebaik sahaja mendengar bunyi hentaman kuat pada bumbung sebelum kedai runtuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, ibunya yang sempat menyaksikan kejadian itu memberitahu, bumbung balai raya masjid terangkat dan berpusing-pusing beberapa kali sebelum menghempas kedainya.

Mohd Nazarudin berkata, mujur ketika itu tiada kenderaan pelanggan jika tidak dia terpaksa menanggung kerugian berganda.

Seorang warga emas, Ismail Wagiman, 77, adalah pemilik rumah yang paling teruk terjejas dengan keseluruhan bumbung bahagian dapurnya tercabut.

Menurutnya, hanya dia bersama isteri menetap di rumah berkenaan dan ketika kejadian mereka sedang menunaikan  solat Asar dalam bilik sebelum dikejutkan bunyi guruh kuat dari arah dapur.

“Selesai solat, saya ke dapur untuk ambil minuman dan terkejut mendapati bumbung sudah tercabut. Selalu sahaja hujan lebat dan angin kuat tetapi tidak sangka kali ini berlaku ribut.

“Separuh ruang rumah banjir dengan air hujan dan saya sempat mengalihkan peralatan elektrik bagi mengelakkan ia rosak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Mukim Lenga, Rohazid Baki berkata, seramai 20 anggota ditugaskan membantu membaiki rumah semua mangsa ribut.

Menurutnya, dengan cara ini dapat meringankan beban mereka (mangsa) terutamanya dalam kos baikpulih rumah yang perlu ditanggung ekoran kejadian tersebut.

Sinar Harian
2 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment