Friday, April 25, 2014

Sinar harapan 14 keluarga

Zaiton membacakan buku kepada pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Parit Jawa, Mohamad Nasiruddin Masir.

MUAR - Lapan rumah baharu akan dibina dan enam kediaman lain dibaik pulih di kawasan Dun Sungai Balang, di sini, membabitkan anggaran kos RM386,000, tahun ini.

Adun Sungai Balang, Zaiton Ismail berkata, bantuan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu bernilai RM40,000 bagi rumah baharu dan kos baik pulih pula menelan belanja RM11,000 seunit.

“Kesemua rumah itu di Mukim Sri Menanti, Mukim Sungai Balang dan Mukim Sarang Buaya. Penerima yang layak ialah mereka yang tidak mampu membeli rumah sendiri.

“Penerima terdiri daripada golongan miskin terutama yang berpendapatan rendah selain mempunyai keluarga besar,” katanya ditemui pada perasmian program Jom Baca Bersama Selama 10 Minit di Kompleks Penghulu Sungai Balang, kelmarin.

Zaiton berkata, pihaknya telah mengenal pasti penerima serba daif dengan keadaan rumah tidak sempurna.

“Ada rumah yang keseluruhan bumbung bocor menyebabkan penghuninya tidur berhimpit-himpit bagi mengelak daripada terkena air hujan.

“Kita simpati terhadap keluarga berkenaan terutama anak-anak kecil apabila terpaksa tinggal dalam keadaan yang tidak selesa,” katanya.

Katanya, kesemua 14 ketua keluarga berkenaan juga tidak disenaraikan dalam e-kasih serta tidak pernah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Zaiton menggesa 18 ketua kampung yang menjaga kira-kira 200 kampung induk dan rangkaian di kawasan berkenaan, turun padang mendekati masyarakat setempat.

“Dengan cara ini kita dapat mengetahui masalah rakyat, seterusnya beri bantuan sewajarnya. Kita akan berusaha memastikan semua penduduk di Dun Sungai Balang terutama golongan memerlukan mendapat pembelaan kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, ada ibu tunggal yang menjalankan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) menemuinya dan menyatakan hasrat mengembangkan perniagaan, tetapi tidak mengetahui ada bantuan disediakan kerajaan.

“Di pejabat saya ada sediakan borang permohonan bantuan dari Pejabat Pertanian dan JKM bagi memudahkan mereka membuat permohonan, tidak perlu lagi ke pejabat berkenaan,” katanya.

Sinar Harian
25 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment