Thursday, April 24, 2014

Bayi dipercayai dihenjut hingga mati

MUAR 23 April - Seorang lelaki mengaku menghenjut seorang bayi perempuan yang baru berusia setahun sambil memegang kaki bayi tersebut berulang kali sehingga menyebabkan kepalanya terhantuk ke lantai.

Pengakuan tersebut dibuat suspek berusia 30-an itu selepas bayi tersebut meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, akibat pendarahan teruk di bahagian kepala pada pukul 6.40 pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek dan isterinya yang bekerja sebagai guru sukarela di sini menghantar bayi tersebut ke hospital kerana mangsa ber­ada dalam keadaan lemah ketika mahu memberi susu.

Katanya, sebaik sahaja kanak-kanak itu tiba di unit kecemasan hospital berkenaan, pegawai per­ubatan mendapati kanak-kanak berkenaan sudah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati beberapa kesan lebam di tangan dan kaki mangsa, selain pendarahan teruk di bahagian kepala bayi itu.

“Sehubungan itu, pihak polis menahan suspek pada pukul 8 malam hari sama dan berdasarkan siasatan dibuat, suspek mengaku menghenjut mangsa berulang kali dalam beberapa kejadian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.

Menurut Azman, pasangan tersebut menyewa rumah di Jalan Omri di sini sejak sebulan yang lalu dan menjadikannya sebagai pusat jagaan kanak-kanak.

“Pasangan tersebut menjaga mangsa dan kakaknya yang ber­usia empat tahun, seorang sepupu perempuan mangsa serta seorang anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun.

“Pasangan tersebut menjaga mangsa dan kakaknya di rumah tersebut sejak 5 April lalu kerana ibu bapa mangsa yang merupakan kenalan mereka mempunyai urusan di luar negara," ujarnya.

Suspek dan isterinya kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 April ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Utusan
24 Apr 2014


Suami isteri didakwa punca bayi mati

Kedua-dua tertuduh diiringi anggota polis pada sebutan kes, semalam.

MUAR - Sepasang suami isteri yang juga guru sukarela didakwa di Mahkamah Majistret Muar, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang bayi perempuan berusia 14 bulan, pertengahan April lalu.

Tertuduh, Tan Yean Siang, 35, dan isterinya, Tan Kok Shoo, 39, didakwa menyebabkan kematian bayi malang itu ketika berada di dalam jagaan mereka di rumah sewa di Jalan Omri di sini, antara 16 hingga 17 April lalu.

Tertuduh mengaku  faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Firdaus Md Isa.

Mengikut kertas pertuduhan, Yean Siang dan Kok Shoo didakwa dengan niat menyebabkan kematian bayi berkenaan pada jam 6.30 petang 16 April lalu, hingga 9.30 pagi, 17 April lalu, di rumah alamat yang dilaporkan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan yang membawa hukuman gantung  sampai mati.

Firdaus menetapkan 27 Mei ini, sebagai tarikh sebutan semula kes dan ingin melihat laporan ujian kimia  serta bedah siasat yang dilakukan terhadap mangsa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya A Shaarmini, manakala pasangan itu tidak diwakili  peguambela.

Media pada 24 April lalu, melaporkan sepasang guru sukarela ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung  kematian seorang bayi di  bawah jagaan mereka pada 18 April lalu.

Difahamkan, guru le-laki yang juga rakan ibu bapa mangsa menghantar bayi berkenaan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, pada jam 6.40 pagi, 18 April lalu, dan mendakwa bayi berkenaan dalam  keadaan lemah.

Pemeriksaan mendapati bayi itu sudah meninggal  dunia sebelum bedah siasat menemui beberapa kesan lebam di kaki dan tangan serta pendarahan teruk di kepala.

Sinar Harian
1 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment