Ismail turut menghulurkan bantuan kepada Aishah Daud pada perasmian Majlis Penghargaan Warga Emas Mukim Lenga di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lenga, baru-baru ini.
MUAR – Pemimpin diminta lebih prihatin dan mendekati masyarakat setempat bagi mengetahui masalah dan kesusahan dihadapi mereka.
Adun Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, langkah itu penting supaya bantuan bersesuaian dapat diberikan kepada mereka memerlukan.
Menurutnya, pemimpin di peringkat akar umbi seperti penghulu dan ketua kampung perlu memainkan peranan mereka secara keseluruhannya dan adil.
“Dengan cara ini dapat mengelakkan mereka memerlukan tercicir daripada menerima bantuan disediakan kerajaan.
“Apabila sudah kenal pasti (orang memerlukan), mereka (penghulu dan ketua kampung) maklumkan kepada wakil rakyat dan bantu mereka membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui selepas perasmian Majlis Penghargaan Warga Emas Mukim Lenga di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lenga, baru-baru ini.
Ismail berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan JKM untuk mengetahui perkembangan dan status terkini permohonan pemohon dari kawasan Parlimen Pagoh yang belum diluluskan.
“Saya dimaklumkan JKM ada permohonan ditolak kerana pemohon tinggal dengan anak berkemampuan dengan pendapatan tinggi,” katanya.
Bercakap mengenai program berkenaan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Lim Kai Bun kerana memberi sumbangan RM24,000 kepada 240 warga emas sebagai usaha menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Katanya, yayasan berkenaan terdiri daripada jutawan berasal dari Lenga yang kini menaburkan bakti dengan menghulurkan bantuan bagi membantu warga emas selain aktif membantu golongan memerlukan termasuk pihak sekolah.
“Saya mahu program seperti ini akan diteruskan pada tahun depan dan berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dapat mengikuti jejak langkah yayasan tersebut.
“Lebih membanggakan apabila yayasan ini turut memberikan bantuan kepada bangsa Melayu dan ini membuktikan semangat perpaduan di negara ini masih kukuh,” katanya.
Sementara itu, penerima bantuan, Aishah Mahat, 80, mengakui pertama kali dalam hidupnya menerima bantuan sedemikian malah gembira dengan sumbangan berkenaan yang akan digunakan untuk membeli keperluannya.
Warga emas yang menetap di Kampung Baru Batu 28, Lenga itu menggunakan tongkat untuk berjalan berikutan masalah pada kedua-dua belah lututnya.
“Saya pernah ditahan dalam wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selama lapan hari kerana sesak nafas sebelum disahkan menghidap penyakit jantung, baru-baru ini.
“Sejak sakit, saya tinggal bersama anak kelima, Samsudin Ramli, 51, yang juga menetap di kampung ini,” katanya.
Sinar Harian
14 Apr 2014
0 comments:
Post a Comment