Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja-kerja pemadaman api di Kilang perabut di Pusat Industri Bukit Pasir, kelmarin.
MUAR – Sebuah kilang perabot mengalami kerugian hampir RM5 juta selepas satu daripada empat blok premis berkenaan musnah dalam kebakaran di Pusat Perindustrian Bukit Pasir dekat Jorak di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7.09 malam itu berlaku ketika lebih 50 pekerja sedang bertugas lebih masa dalam kilang berkenaan yang menghasilkan perabot seperti katil, almari dan kerusi.
Pekerja, M Rakhteu, 32, berkata, kejadian disedari pekerja terlibat selepas dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari bahagian belakang kilang yang menempatkan operasi mengecat perabot.
“Letupan itu disusuli dengan percikan api yang kemudiannya membakar mesin mengecat perabot dan merebak ke mesin yang lain.
“Ada pekerja cuba padamkan kebakaran tetapi api marak terlalu cepat dan menjulang tinggi ke bumbung menyebabkan semua pekerja ketakutan lalu bertempiaran lari menyelamatkan diri ke luar kilang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, dia bersyukur kesemua pekerja terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun ada antara rakannya berada pada kedudukan hampir dengan mesin yang meletup.
Rakhteu berkata, dalam keadaan kelam kabut dan panik, salah seorang pekerja menghubungi majikannya untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Arif Jili berkata, seramai 49 anggota dengan empat jentera dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7 malam.
Beliau berkata, operasi tersebut turut dibantu sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Bukit Gambir yang mengambil masa kira-kira empat jam untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.
“Kecekapan anggota dengan kemudahan logistik yang mencukupi membolehkan api dikawal dalam tempoh 30 minit daripada merebak ke tiga blok kilang dan bahagian pejabat.
“Kita tidak menghadapi sebarang kesulitan sepanjang operasi kerana mendapat bekalan air yang mencukupi daripada pili bomba yang terdapat di kawasan sekitar kilang,”katanya yang memberitahu punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Sinar Harian
5 Apr 2014
0 comments:
Post a Comment