Saturday, April 12, 2014

Polis Muar rampas dadah RM3 juta

MUAR - Dadah bernilai lebih RM3 juta berjaya dirampas menerusi beberapa serbuan dan operasi yang dilakukan sepanjang 1 Januari hingga 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, heroin merupakan rampasan tertinggi iaitu melebihi 30 kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah hotel pada Januari lalu dengan menahan dua lelaki berusia 40 dan 32 tahun.

“Rampasan kedua tertinggi setakat ini ialah syabu seberat 1.5 kg dan pelbagai jenis dadah lain turut dirampas membabitkan jumlah kurang daripada 1kg.

“Sebanyak 13 kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 16 kes (Seksyen 39A (2)) dan 23 kes (Seksyen 12(2)) akta yang sama dikesan dan berjaya dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan operasi menerusi serbuan untuk menahan individu yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah bagi membanteras kegiatan tersebut.

Azman berkata, orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berlaku aktiviti pengedaran dadah berhampiran kediaman mereka.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang penganggur berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Batu 5 Bakri,  bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM1,400, Ahad lalu.

“Dadah yang ditemui ialah heroin seberat 18.8 gram, syabu (2.7g) dan eramin 5 (lima biji),

“Lelaki terbabit merupakan seorang penagih dan pengedar secara kecil-kecilan didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Suspek yang berasal dari Muar ditahan reman sehingga 13 April ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian
12 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment