Sunday, February 24, 2013

Ibu tua akan dapat rumah baharu

MUAR 18 Feb. - Seorang ibu tua menetap bersama anaknya yang mengalami masalah mental di sebuah rumah usang yang hampir roboh di Jalan Junid di sini kini ceria apabila pelbagai usaha dilakukan untuk membaiki semula kediamannya bagi membolehkan mereka dua beranak hidup lebih selesa.

Zainab Abu Bakar, 73, sudah mendiami rumah berkenaan sejak lebih 40 tahun lalu selepas kematian suaminya, namun sejak seminggu lalu, bahagian depan rumah berkenaan roboh kerana terlalu uzur menyebabkan dia dan anaknya yang berusia 50-an terpaksa tinggal di bahagian dapur.

Bagaimanapun, tindakan segera pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim mengumpul derma untuk membaiki rumah berkenaan sejak seminggu lalu serba sedikit dapat mengurangkan bebanan keluarga berkenaan.

"Bahagian luar rumah juga akan dinaiki air kerana tiada sistem perparitan di sini. Saya juga tidak mampu untuk menyewa rumah lebih selesa kerana sumber pendapatan hanyalah daripada sumbangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM)," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini selepas menerima kunjungan Razali kelmarin.

Difahamkan, Zainab memiliki empat anak, namun mereka juga tidak dapat menghulurkan bantuan kerana kesempitan hidup, manakala dia terpaksa menjaga anak lelaki sulungnya yang mempunyai masalah mental.

Selain bantuan membaiki rumah yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh seminggu, Zainab turut gembira menerima bantuan lain seperti keperluan harian serta makanan.

"Saya berterima kasih terhadap keprihatinan pemimpin dan penduduk kampung yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Razali berkata, sumbangan berjumlah RM10,000 dikumpul daripada pelbagai pihak akan digunakan bagi membaiki rumah keluarga berkenaan terutama menggantikan bumbung dan dinding baharu.

Bagaimanapun, katanya, wujud banyak kesulitan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami masalah berkaitan tempat tinggal berikutan status tanah dihuni mereka yang kebiasaannya ialah milik orang lain.

"Walaupun tidak dapat menggunakan peruntukan sedia ada, kita tetap menyalurkan bantuan peribadi bagi membantu mereka. Bagi jangka masa panjang kita akan cuba mendaftarkan keluarga ini untuk mendapatkan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.

Buat masa ini, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menjelaskan Pergerakan Pemuda kawasan berkenaan akan membantu keperluan keluarga itu dan segera membaiki kerosakan rumah berkenaan.

Utusan
19 Feb 2013


0 comments:

Post a Comment