Sunday, February 24, 2013

Taktik kantoi, lelaki gagal jual telefon curi


MUAR - Seorang lelaki berputih mata bukan sahaja tidak sempat menikmati hasil barangan curi, malah bakal meringkuk dalam penjara selepas ditahan ketika cuba menjual telefon bimbit dicurinya dari sebuah kedai di Simpang Jeram, Bakri, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 36 tahun itu dicekup selepas cuba menjual telefon yang dicurinya dari salah sebuah kedai pemilik telefon tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, suspek memasuki premis berkenaan ketika pemiliknya sedang sibuk melayan pelanggan lain.

Beliau berkata, pemilik kedai itu tidak sempat menyapa suspek, kerana lelaki tersebut terlebih dahulu meninggalkan kedainya dalam keadaan tergesa-gesa dengan  menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan premis berkenaan.

“Tidak lama kemudian, pemilik kedai berusia 36 tahun itu mula menyedari satu telefon bimbit jenis Samsung Ace Plus di kedainya hilang.

“Mangsa mengesyaki lelaki yang meninggalkan kedainya dalam keadaan tergesa-gesa itu telah mencuri telefon bimbit berkenaan, lalu menghubungi sebuah lagi kedai miliknya di Sungai Abong, dan berpesan kepada pekerja di sana supaya menahan jika ada lelaki datang mahu menjual telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, kebetulan suspek datang ke kedai telefon bimbit pemilik sama di Sungai Abong untuk menjual gajet berkenaan dan disedari pekerjanya.

“Namun, suspek yang mengesyaki perkara itu bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di kedai milik mangsa.

“Ekoran laporan dibuat mangsa, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan akhirnya dia diberkas empat jam kemudian di rumahnya di Jalan Haji Abdullah, Sungai Abong pada jam 4.45 petang,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis herion, dan tiada rekod jenayah lampau.

Kata Mohamad Nasir lagi, dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes jenayah yang berlaku di sekitar daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 kanun keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Sinar Harian
19 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment