Sunday, February 3, 2013

Ahli PBTM Cawangan Muar ditawar ternak ayam


MUAR 31 Jan. - Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) menawarkan seramai 4,064 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar untuk menceburi perniagaan menternak ayam yang mampu memberi pendapatan lumayan sehingga RM30,000 sebulan.

Pengerusi Jemaah Pengarah PPNJ, Datuk Saipolbahari Suib berkata, bagi merealisasikan projek itu, pihaknya akan bekerjasama membekalkan anak ayam, makanan dan ubat-ubatan secara percuma tetapi pengusaha perlu menyediakan tapak ternakan dan reban ayam.

"Tempoh pembesaran mengambil masa 30 hari dan PPNJ akan membeli ayam ini selepas tempoh itu. Sebagai contoh, apabila pengusaha menternak 20,000 ekor ayam dan jual dengan harga ditetapkan PPNJ iaitu RM1.50 sekilogram, mereka akan mendapat hasil RM30,000 sebulan.

"Justeru, ahli-ahli PBTM Muar diminta merebut peluang ini kerana dapat membantu membangun dan meningkatkan taraf ekonomi mereka," katanya semasa merasmikan Kursus Perniagaan Veteran Tidak Berpencen Siri 3 di Hotel Pelangi, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, jika tidak berkemampuan untuk menjalankannya secara individu, projek ternakan itu boleh dilakukan di bawah persatuan berkenaan bagi mendapatkan modal untuk menyediakan reban dan tapak ternakan.

Saipolbahari yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (Nafas) berkata, PPNJ memerlukan lebih ramai penternak kerana pertubuhan itu telah meningkatkan pengeluaran ayam prosesnya kepada 25,000 berbanding 15,000 ekor sehari sebelum ini.

Menurutnya, Nafas pula menyasarkan pengeluaran ayam proses sebanyak 50,000 ekor sehari yang akan dipasarkan ke luar negara.

Bagaimanapun katanya, bekas perajurit tersebut perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai ahli unit peladang sebelum terlibat dalam perniagaan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi PBTM Muar, Shamsuddin Rais berkata, seramai 105 peserta yang mengikuti kursus tersebut diberikan pendedahan membuat akaun perniagaan, kemudahan pinjaman kerajaan dan mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Kesemua peserta akan mengikuti kursus lanjutan anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dalam masa terdekat," katanya sambil memberitahu kursus itu dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Utusan
1 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment