Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api.
MUAR - Seorang peniaga kerugian ratusan ribu ringgit apabila pasar mini miliknya di Taman Pertama, Sungai Abong, di sini, terbakar awal pagi semalam.
Kejadian jam 3.40 pagi itu, mengakibatkan dua daripada tiga unit premis perniagaan itu hangus, manakala satu unit yang menempatkan sayur-sayuran terselamat.
Pemilik pasar mini, Abdul Hamid Abdul Rahman, 58, berkata, kebanyakan barangan yang musnah adalah bekalan jualan untuk kegunaan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina minggu ini.
Dia yang masih terkejut tidak dapat menyembunyikan rasa sedih kerana perniagaan yang diusahakan sejak 15 tahun lalu musnah sekelip mata.
Saksi yang dikenali sebagai Faizul, 23, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila ternampak satu percikan api di bahagian bumbung ketika melalui pasar mini berkenaan.
“Selepas itu, saya terbau hangit disusuli letupan kuat.
Namun, api marak begitu cepat dan saya sempat mengejutkan penduduk berdekatan untuk membantu menyelamatkan barang-barang di dalam kedai itu.
“Saya segera menelefon bomba Muar, sementara penduduk cuba membantu sebelum mereka berhenti bila api makin marak,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.58 pagi.
Katanya, sebanyak dua jentera bersama 12 anggota segera dikerahkan.
“Pihak bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengawal dan memadam api.
“Jumlah kerugian sebenar dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Sinar Harian
8 Feb 2013
0 comments:
Post a Comment