Sunday, February 24, 2013

Tujuh bulan jadi buruan

Mohamad Nasir menunjukkan telefon bimbit yang dirampas berikutan penahanan dua lelaki dalam kejadian berasingan, Jumaat lalu

MUAR - Sepandai-pandai  tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Situasi tepat seorang peragut yang kononnya berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa, namun akhirnya dicekup ketika menaiki motosikal di Jalan Mariam di sini, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 23 tahun itu sebelum ini dilaporkan menjadi buruan polis sejak tujuh bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, lelaki itu ditahan pada jam 12.30 tengah hari dan hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat kes ragut pada 12 Julai tahun lalu.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, suspek telah meragut beg milik seorang suri rumah di sebuah kafe minuman di Taman Junid Perdana, Jalan Abdul Rahman di sini.

“Suspek menaiki motosikal bersama rakannya dikatakan memasuki kafe itu dan secara tiba-tiba meluru ke arah wanita berkenaan sebelum merampas beg miliknya.

“Selepas mendapat beg itu, suspek melarikan diri menaiki motosikal yang ditunggang rakannya, di luar premis tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik mangsa membuat laporan di balai berhampiran berhubung kejadian, polis melancarkan gerakan memburu suspek tetapi hanya berjaya menahan rakan suspek yang berusia 20an, tahun lalu.

Jelasnya, usaha mencari suspek yang bekerja sebagai ejen insurans diteruskan sehingga berjaya ditangkap, Jumaat lalu.

“Ketika ditahan, polis merampas satu telefon bimbit dipercayai milik suri rumah berusia 44 tahun itu yang kerugian hampir RM3,000.

“Dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah yang berlaku sekitar daerah ini,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan bebas dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya.

Menurutnya, suspek direman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 kanun keseksaan.

Sinar Harian
19 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment