Sunday, February 24, 2013

Sukarelawan Siswa4U dilancar


RAZALI Ibrahim (tengah) bersama mahasiswa yang menyertai Majlis Gotong Royong Perdana dan Pelancaran Sukarelawan Siswa4U Biro Pengajian Tinggi UMNO Malaysia di Parit Raja Muar, baru-baru ini.

MUAR 19 Feb. - Biro Institusi Pengajian Tinggi UMNO dengan kerjasama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Raja melancarkan Sukarelawan Siswa4U di Masjid Jamek Seri Menanti dan Balai Raya Parit Raja. di sini baru-baru ini.

Program selama dua hari itu dirasmikan oleh Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO dengan disertai dan dikendalikan oleh 184 mahasiswa ahli UMNO dari Muar.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, Sukarelawan Siswa4U dilancarkan selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dipinda hujung tahun lalu, sekali gus melayakkan lebih 200,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta layak mengundi bermula Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, daripada jumlah itu, 14,000 daripadanya adalah ahli UMNO yang boleh terbabit secara langsung dalam politik, selain pelbagai lagi kerja kesukarelaan dalam parti-parti politik.

"Antara tujuan lain program Sukarelawan Siswa4U ialah mengetengahkan kepimpinan yang dimiliki golongan terbabit. Ini sebenarnya mencetuskan persoalan tentang kepimpinan, apa boleh kita buat terhadap 14,000 mahasiswa ini?

"Selaras pelancaran program sukarelawan My Beautiful Malaysia pada 3 Februari lalu anjuran 1Malaysia For Youth (IM4U) oleh Perdana Menteri, kita lancarkan Siswa4U yang diadakan khas di Muar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, antara tema program berkenaan ialah semangat kesukarelaan, selain pelbagai lagi program yang tidak dihadkan dan terpulang kepada para peserta.

Menurut Razali, antara perkara dirancang termasuk kebersihan dalam kalangan masyarakat, pembelajaran bahasa Inggeris, keagamaan serta gotong-royong, selain penyerahan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Terdahulu sebelum itu, beliau melancarkan Program Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) dan Sambutan Kesyukuran Kesejahteraan Jemaah Haji sempena Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Muar di Masjid Jamek Seri Menanti.

Program itu melibatkan penuntut-penuntut universiti dari daerah ini untuk bergotong-royong membersihkan masjid sebelum diteruskan dengan taklimat SPH yang diwujudkan untuk membantu para penghafal al-Quran melanjutkan pengajian di peringka doktor falsafah (PhD), sarjana, ijazah, diploma lanjutan dalam atau luar negara.

Selepas itu, Razali menyampaikan sumbangan kepada enam buah pusat tahfiz dalam Parlimen Muar iaitu Maahad Tahfiz Parit Sakai Laut, Maahad Tahfiz Parit Sakai Darat, Maahad Tahfiz Anak Yatim Muar, Maahad Tahfiz Parit Raja dan Maahad Tahfiz Sungai Gersik Laut.

Program berkenaan dianjurkan Pusat Khidmat Parlimen Muar dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Muar, Tabung Haji Muar dan jawatankuasa majlis berkenaan.

Utusan
20 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment