SHARUDDIN Md. Salleh (tengah) menyerahkan dokumen kepada Jamilah Salim sebagai persetujuan untuk membina rumahnya yang baharu di Kampung Bukit Batu, Bukit Pasir, Muar, kelmarin.
MUAR 12 Feb. - Hampir tiga bulan seorang ibu tunggal terpaksa menumpang di rumah saudaranya selepas rumah yang didiaminya selama lebih 35 tahun di Kampung Bukit Batu, Bukit Pasir di sini, terpaksa dirobohkan kerana didirikan atas tanah milik orang.
Kesulitan dan nasib tidak menentu Jamilah Salim, 62, bagaimanapun terbela apabila Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta UMNO Bahagian Pagoh segera membantunya membina rumah baharu.
Rumah tersebut akan dibina dalam tempoh terdekat oleh lebih 20 anggota dari Markas 7 Briged Kem Kluang yang dijangka siap dalam tempoh 40 hari.
Jamilah berkata, sebelum kematian suami yang juga seorang bekas tentera, Mohamad Yusof lapan tahun lalu, dia dan lima anaknya menetap di rumah berkenaan kerana menyangka ia adalah milik kerajaan sehingga pada 30 Disember lalu, pemilik sebenar tanah itu mengatakan sudah menjualnya kepada seorang pembeli.
"Pemilik baharu tanah itu meminta saya keluar dari rumah tersebut kerana ia akan dirobohkan dan sejak itu saya menumpang di rumah kakak ipar bersama anak bongsu berusia 23 tahun," katanya semasa ditemui selepas majlis doa selamat sempena pembinaan rumah berkenaan semalam.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh serta Ketua PBTM Muar, Shamsuddin Rais.
Jamilah yang bersyukur kerana menerima bantuan berkenaan mengakui kerajaan amat prihatin terhadap nasib menimpa keluarga balu bekas tentera sepertinya.
Wanita itu yang hanya bergantung hidup kepada pencen suaminya berjumlah RM700 sebulan berharap kediaman itu akan segera disiapkan bagi membolehkannya menjalani kehidupan dengan lebih gembira.
Sementara itu Shamsuddin berkata, JHEV mengeluarkan peruntukan sejumlah RM15,000 manakala PBTM, UMNO Pagoh serta Baitulmal masing-masing menderma RM5,000 bagi membina rumah tersebut.
Pihaknya juga mendapat bantuan daripada Markas 7 Briged Kem Kluang yang menyiapkan pelan serta menyediakan tenaga kerja bagi membina rumah berkenaan secepat mungkin.
Utusan
13 Feb 2013
0 comments:
Post a Comment