Sunday, February 24, 2013

Veteran anggap 'durian runtuh'


SEBAHAGIAN daripada penerima Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen 1Malaysia menunjukkan sumbangan yang diterima mereka di Dewan MRSM Bakri, dekat Muar, Johor, baru-baru ini. - MINGGUAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 16 Feb. - Seramai 6,184 penerima Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) seolah-olah mendapat durian runtuh apabila RM6.1 juta mula diagihkan kepada mereka yang layak dari negeri ini.

Pemberian itu mengakhiri penantian mereka sebelum ini dan daripada jumlah itu, 1,372 veteran ATM adalah dari Pagoh, Ledang, Bakri dan Muar menerima RM1,000 setiap seorang dan kesemuanya adalah ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar.

Ketua PBTM Muar, Shamsuddin Rais berkata, bilangan 1,372 itu merupakan sebahagian daripada hampir 2,000 veteran tentera tidak berpencen yang terdapat di empat daerah itu dan pada masa sama bernaung di bawah PBTM Muar.

"Dianggarkan seramai 500 lagi veteran tidak berpencen dari Muar, Ledang, Pagoh dan Bakri yang masih belum berdaftar dengan pihak kami. Jadi kita minta mereka datang ke pejabat kerana peluang untuk mendapatkan SVTB1M masih terbuka.

"Mereka hanya perlu datang ke Pejabat PBTM Muar di Jalan Sulaiman antara pukul 9 pagi hingga 3 petang kerana permohonan itu dilanjutkan hingga 31 Disember ini," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian SVTB1M Negeri Johor yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, di sini kelmarin.

Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Zulkiflee Mazlan; Presiden Persatuan Veteran ATM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan 25 ahli serta wakil Parlimen dari seluruh Johor.

Mereka merupakan sebahagian daripada 224,000 veteran tentera tidak berpencen dari seluruh negara yang layak menerima insentif daripada kerajaan bertujuan meringankan beban hidup keluarga bekas tentera selain menghargai pengorbanan mereka mempertahankan negara.

Shamsuddin berkata, bagi mereka yang sudah berdaftar dengan PBTM Muar tetapi tidak dapat hadir kelmarin, insentif itu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan Muhyiddin ketika berucap pada majlis berkenan yang sedia menimbang untuk memberi SVTB1M kepada balu tentera juga dengan jumlah RM1,000 bagi menghargai sumbangan suami mereka.

Sementara itu, seorang penerima, Noroslan Maarof, 50, dari daerah ini yang sekarang berniaga kuih amat bersyukur kerana akhirnya kerajaan sedia memberikan insentif tersebut setelah sekian lama menantikannya.

Begitu juga dengan C. Balakrishnan, 65, yang kini berkhidmat dengan Telekom Malaysia (TM) di sini amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pemberian SVTB1M itu walaupun tempoh perkhidmatannya dengan ATM tidak sampai 21 tahun.

Utusan
17 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment