Sunday, February 24, 2013

Kawasan panas dikenal pasti


MUAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menempatkan ramai anggotanya di beberapa kawasan panas di negeri ini yang sudah dikenal pasti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tindakan itu bertujuan untuk memastikan tidak berlaku sebarang provokasi di kawasan terbabit yang dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran proses pilihan raya.

Menurutnya, taklimat kepada anggota sudah diberikan untuk memberi fokus kepada kawasan yang dilabelkan sebagai panas di samping berjumpa dengan penduduk setempat supaya sentiasa mematuhi peraturan ketika tiba PRU13.

“Kita akan cuba untuk sejukkan tempat-tempat yang panas kerana bimbang kawasan itu akan mencetuskan masalah melalui provokasi yang dilakukan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya timur diminta supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi pada PRU 13 ini,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Bukit Kepong, dekat sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, proses pilihan raya umum terdahulu sebanyak 12 kali yang berlangsung dalam keadaan harmoni dan aman perlu dikekalkan supaya negara luar dapat melihat rakyat Malaysia sebagai matang serta menghormati undang-undang.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar undang-undang negara.

“Jangan sesekali mencabar pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati mencetuskan provokasi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai permit ceramah sepanjang tempoh kempen PRU13, Mohd Mokhtar berkata, perkara di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 sudah dimansuhkan dan polis kini tidak lagi mengeluarkan sebarang permit.

“Bagaimanapun pihak penganjur diminta mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 supaya perkara tidak diingini tidak terjadi sekaligus ceramah atau perhimpunan yang diadakan dapat berlangsung dalam suasana aman mengikut peraturan.

“Mana-mana parti politik yang hendak mengadakan ceramah perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis dalam tempoh 10 hari sebelum ia berlangsung. Selain itu, rundingan antara pihak polis dengan parti politik akan diadakan jika ada sebarang bantahan,” katanya.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) Johor sebelum ini mengumumkan akan memberikan tumpuan khusus terhadap lima ‘kerusi panas’ iaitu Parlimen Bakri, Kluang, Gelang Patah, Kulai dan Segamat bagi mencapai sasaran kemenangan 100 peratus di 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun Johor pada PRU13 ini.

Sinar Harian
24 Feb 2013



48 orang terima anugerah polis


MOHD. Mokhtar Mohd. Shariff menyerahkan sijil penghargaan kepada Er Cheong Heng dalam Perhimpunan Bulanan dan Majlis Perhimpunan Sempena Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Muar, baru-baru ini.

MUAR 27 Feb. - Seramai sembilan pemimpin dan penduduk di negeri ini menerima sijil dan plak baru-baru ini, atas sumbangan mereka membantu pasukan keselamatan itu menguatkuasakan undang-undang dan menjayakan program pencegahan jenayah.

Penghargaan itu disampaikan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dalam Perhimpunan Bulanan dan Majlis Perhimpunan Sempena Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Tapak Bersejarah Balai Polis Bukit Kepong di sini.

Selain sembilan penerima itu, 39 anggota polis negeri ini turut menerimanya dalam perhimpunan yang disertai kira-kira 600 anggota sebelum mereka mengadakan majlis tahlil dan melawat pusara pejuang Bukit Kepong di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kepong.

Seorang penerima, Penghulu Mukim Bukit Kepong, Mohd. Azahari Bidin, 42, berkata, beliau berbesar hati menerima penghargaan itu dan turut berterima kasih kepada golongan belia di kawasannya yang aktif membantu pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang.

Beliau berkata, terdapat enam Kelab Rukun Tetangga (KRT) dan 11 anggota Skuad Rondaan Sukarela (SRS) di mukim itu bagi menjaga keamanan dan ketenteraman penduduk di situ.

"Golongan belia di setiap kampung mempunyai peranan penting untuk bersama membantu pihak polis menjaga ketenteraman masyarakat. Sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu melancarkan tugas pihak berkuasa," katanya.

Penerima lain, Er Cheong Hung, 65, pula tidak menyangka menerima anugerah tersebut kerana penglibatannya bukan untuk meraih sebarang sumbangan tetapi atas kesedaran untuk bersama-sama membantu polis menjaga keamanan.

"Sudah 10 tahun saya menyertai program komuniti polis untuk membantu menjaga keamanan di kawasan tempat tinggal dan mahu terus menyertai program sukarela ini untuk menyumbang tenaga selagi masih berupaya.

"Kita semua perlu mainkan peranan masing-masing. Meskipun sumbangan tidaklah sebesar anggota polis, namun saya gembira kerana dapat bantu," katanya yang hadir menerima penghargaan itu bersama isteri serta dua cucunya.

Sementara itu, Mohd. Mokhtar menegaskan bahawa Balai Polis Bukit Kepong di sini dan sejarah di sebaliknya akan sentiasa dihidupkan untuk panduan generasi akan datang.

Beliau berkata, peristiwa bersejarah tentang keberanian anggota polis menentang pengganas komunis pada subuh 23 Februari 1950 wajar dijadikan iktibar kepada semua pihak dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Utusan
28 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment