Muhyiddin melancarkan program 'My Beautiful Malaysia' di peringkat negeri. Gambar The Star
MUAR 3 Feb 2013 - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat seorang remaja yang sedang mengecat pagar Stadium Sultan Ibrahim sempena program "My Beautiful Malaysia" peringkat negeri Johor.-UTUSAN/ISHAK RAHMAD
MUAR: Timbalan Perdana Menteri mahu golongan muda di negara ini supaya berganding bahu dengan kerajaan bagi memajukan negara menerusi pelbagai kegiatan kesukarelaan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, masa depan negara ini dan rakyat bukan hanya terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi juga di bahu golongan muda dan belia.
"Kerajaan memberi pengiktirafan yang amat besar kepada anak-anak muda negara ini. Kita mahu menggembleng usaha anak-anak muda supaya bersama-sama memaju dan membangunkan negara ini menerusi kegiatan kesukarelaan," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian di hadapan 20,000 anak-anak muda pelbagai lapisan yang terlibat dengan program "My Beautiful Malaysia" peringkat negeri Johor yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.
Menurut Muhyiddin, tahun ini diiktiraf oleh kerajaan sebagai Tahun Kesukarelaan Negara, dengan penyediaan peruntukan RM100 juta di bawah Dana Sukarela 1Malaysia kepada badan-badan sukarela.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masa depan rakyat dan negara ini perlu diperjuangkan bersama, dengan anak-anak muda yang mempunyai ilmu, jiwa dan semangat yang merupakan aset penting kepada negara.
Pada masa yang sama, beliau meminta golongan muda di negara ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan keharmonian di antara kaum serta kemajuan ekonomi yang dibina selama ini.
"Kita meminta anak-anak muda supaya terus bersama dengan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional agar usaha kita untuk menjadikan Malaysia cantik, bersih, maju, sebagaimana yang kita banggakan," katanya.
Selain majlis perasmian di Stadium Sultan Ibrahim, program "My Beautiful Malaysia" turut diadakan di sembilan daerah di Johor yang disertai kira-kira 100,000 anak muda.
Program peringkat kebangsaan yang menyaksikan anak-anak muda terbabit di dalam pelbagai kegiatan kesukarelaaan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - BERNAMA
3 Feb 2013
Berganding bahu dengan kerajaan - TPM
MUHYIDDIN Yassin mengecat dinding sambil diperhatikan oleh isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kanan), Abdul Ghani Othman (dua dari kiri), S. Subramaniam (empat dari kiri) dan Razali Ibrahim (lima dari kiri) sempena program My Beautiful Malaysia peringkat negeri Johor di Muar, Johor, semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad
MUAR 3 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak generasi muda berganding bahu dengan kerajaan membangunkan lagi negara menerusi aktiviti kesukarelaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, golongan muda boleh menyumbang dengan memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kebijaksanaan mereka untuk bersama-sama membantu rakyat yang lemah menerusi aktiviti sukarela mengikut kecenderungan dan kegemaran mereka dalam usaha membangunkan negara.
"Bidang kesukarelaan tidak terbatas. Buatlah program membantu masyarakat mengikut kegemaran dan lakukan yang terbaik untuk bersama-sama menyumbang kepada orang ramai. Marilah bergerak sederap dalam satu barisan dan menjadi satu pasukan bersama kerajaan.
"Yang penting kita mesti ada semangat, lakukan dengan bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban apa sahaja. Kerajaan sudah sediakan dana sebanyak RM100 juta dan geran ini akan disalurkan untuk menjayakan program dan aktiviti kesukarelaan yang akan diadakan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan My Beautiful Malaysia peringkat negeri Johor di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.
Lebih 20,000 orang khususnya golongan remaja dan belia membanjiri padang stadium berkenaan dan setia mendengar amanat Timbalan Perdana Menteri walaupun hujan renyai.
Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan dan menghargai sumbangan golongan muda memaju dan membangunkan negara khususnya dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.
Beliau berkata, proses transformasi yang dilakukan kerajaan turut memerlukan sumbangan generasi muda kerana mereka sebahagian daripadanya, malah kemajuan dan pembangunan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengiktirafan ramai pemimpin dunia.
"Kita hendak majukan lagi negara dan negeri ini. Misalnya Johor kini dipandang tinggi dan menjadi tumpuan pelabur dengan adanya Iskandar Malaysia dan projek RAPID di Pengerang serta kita mempunyai khazanah untuk dibangun dan dibugarkan.
"Kita ingin menjadi negara contoh, model kepada banyak negara lain dan ramai yang mengagumi kita kerana walaupun berbilang kaum tetapi dapat hidup dengan aman, harmoni dan bersatu memajukan negara tidak seperti di beberapa negara lain yang berbalah sesama kaum mereka," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ada golongan yang mendakwa semangat kesukarelaan dalam kalangan generasi muda kian pudar dan sebagai generasi yang menjadi pemimpin masa depan mereka harus bergiat aktif dalam pelbagai bidang termasuk aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan.
Utusan
4 Feb 2013
0 comments:
Post a Comment