Keadaan bas dan kereta yang bertembung di Jalan Salleh, Muar, semalam. - Foto Shahrul M Zain
Muar: Dua maut dan tujuh cedera dalam dua kemalangan berasingan masing-masing, di Jalan Salleh dekat Taman Cemerlang, di sini, dan Kilometer 133 Lebuhraya Utara Selatan dekat Pagoh semalam.
Dalam kejadian di Jalan Salleh pada jam 5.45 pagi, Lim Pang Hong, 23, maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan bas persiaran, yang membawa 16 penumpang.
Kenderaan terbabas
Pang Hong bersama empat rakannya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Setongkat dekat Jalan Salleh apabila kereta mereka terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan bas persiaran dari arah Muar ke Johor Bahru.
Pang Hong mati di tempat kejadian, manakala empat rakannya hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Di Pagoh, hasrat empat beranak meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Ipoh tidak kesampaian, apabila kereta dinaiki terbabas menyebabkan seorang maut di Lebuhraya Utara Selatan jam 11.30 pagi.
Chong Tum Tuck, 64, mati di lokasi akibat patah leher.
Isterinya, Leong Mun, 58, dan dua lagi ahli keluarga mereka, Chong Ah Kaw, 69, dan Chang Guiqin Jacqueline, 22, cedera dan di rawat di HPSF.
Perjalanan ke Ipoh
Mangsa bersama ahli keluarganya itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Ipoh, bercuti sempena Tahun Baru Cina.
Kereta Toyota Camry dipandu mangsa terbabas sebelum terbalik ke parit berdekatan dipercayai akibat hujan lebat.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Berita Harian
9 Feb 2013
Lelaki maut dalam kemalangan
Kereta mangsa bertembung dengan sebuah bas persiaran di Jalan Salleh, semalam. Mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat.
MUAR - Seorang pemuda tidak sempat menyambut Tahun Baru Cina apabila maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan kereta dengan bas persiaran di Jalan Salleh berhampiran Taman Cemerlang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi, Lim Pang Hong, 23, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu selama 20 minit.
Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar makan malam bersama empat rakannya.
Setiba di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas persiaran yang datang dari arah Muar menghala ke Johor Bahru.
Akibat rempuhan itu, kereta dipandu mangsa remuk teruk dan terperosok di bawah hadapan bas persiaran yang dinaiki 16 penumpang lain.
Pemandu bas berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Johor Bahru, tetapi singgah ke Muar bagi menghantar penumpang.
Menurutnya, sebaik sahaja memasuki Jalan Salleh, pada jarak 200 meter, dia melihat sebuah kereta dalam keadaan tidak terkawal sebelum insiden berkenaan.
“Dentuman kuat itu mengejutkan semua penumpang yang sedang tidur dan mereka panik dengan kejadian yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Pemandu bas berkata, kesemua penumpang selamat dan bas hanya mengalami sedikit kerosakan serta boleh meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sinar Harian
9 Feb 2013
Seorang maut, tiga cedera
Mayat Tum Tuck dihantar ke HPSF untuk bedah siasat.
MUAR - Percutian empat sekeluarga untuk pulang ke Ipoh bagi menyambut Tahun Baru Cina bertukar tragedi apabila salah seorang ahli keluarga terkorban dalam kemalangan di kilometer 133 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara bersebelahan Jalan Parit Sulong-Pagoh berhampiran Pagoh di di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Chong Tum Tuck, 64, memandu kereta Toyota Camry bersama tiga ahli keluarganya dari Johor Bahru.
Hujan lebat dipercayai menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam parit.
Mangsa, Tum Tuck meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.
Sementara penumpang lain, Chang Guiqin Jacqueline, 22, Chong Ah Kaw@ Chong Sum Wai, 69, dan Leong Mun, 58, cedera dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
“Berapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar dikerahkan untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.
“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan, berhati-hati dan meminta mereka mengutamakan keselamatan dengan memandu secara berhemah kerana cuti Tahun Baru Cina sudah pun bermula.
Sinar Harian
9 Feb 2013
0 comments:
Post a Comment