MUAR 11 Feb. - Hampir 10,000 masyarakat berbilang kaum mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Muar yang berlangsung selama tiga jam di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Muar, di sini hari ini.
Sambutan tahunan di peringkat daerah itu dimeriahkan dengan pelbagai juadah, selain dihiburkan dengan tarian singa dan persembahan nyanyian secara solo serta berkumpulan.
Ahli Parlimennya, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui berkata, penganjuran itu adalah satu simbol persefahaman dan perpaduan untuk seluruh 47,700 penduduk di Muar yang mana hampir 20,000 daripadanya adalah masyarakat Cina.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berharap penganjuran seperti itu dapat mengeratkan lagi hubungan sedia ada dengan mencari persamaan dan bukan perbezaan.
"Kita bukan sahaja anjur majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali tetapi juga Tahun Baharu Cina pada setiap tahun untuk kita sama-sama meraikannya. Kita pilih penganjurannya pada hari raya kedua kerana mahu lebih ramai masyarakat Cina hadir.
"Kalau diadakan selepas minggu pertama sambutan Tahun Baharu Cina dikhuatiri ramai yang sudah pulang semula ke bandar. Kita akan terus kekalkan budaya ini kerana dengan cara ini dapat meningkatkan keharmonian antara kita," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, penduduk Muar wajar berbangga kerana kumpulan tarian singa dari daerah ini pernah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, kumpulan tarian singa dari Muar pernah 109 kali memenangi pertandingan tarian singa di peringkat luar negara sementara 58 kali menjadi juara dalam negara dan lebih mengejutkan kumpulan itu turut disertai orang Melayu India.
Utusan
12 Feb 2013
0 comments:
Post a Comment